Tak sempat ke hospital, wanita lahirkan anak pertama dalam kereta
Salim Aziz
Julai 22, 2019 17:59 MYT
Julai 22, 2019 17:59 MYT
Bagi seseorang wanita, pengalaman melahirkan bayi pertama adalah detik terindah sepanjang hidup.
Namun, lain pula yang berlaku bagi seorang ibu muda apabila dia tidak sempat ke hospital, lalu menempuh detik mencemaskan iaitu terpaksa melahirkan bayi pertamanya di dalam sebuah kereta Perodua Kancil.
Insiden itu berlaku di kawasan meletak kenderaan, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari Isnin, Anis Syabila Roslan, 19 tahun, bersama suami, Mohd Ikhwan Mohd Sidi, 22 tahun serta ditemani ahli keluarga sedang dalam perjalanan dari rumah mereka di Pauh untuk ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.
Ibu mentuanya, Toyibah Che Mee, 41 tahun, yang ditemui di perkarangan hospital memberitahu, sewaktu dalam perjalanan, Anis mengalami pendarahan dan mengadu rasa sakit hendak bersalin, menyebabkan Mohd Ikhwan singgah ke IPD Arau dan meminta kebenaran untuk bersalin.
Kelahiran bayi perempuan itu disambut sendiri oleh Toyibah dengan dibantu beberapa pegawai polis, sebelum dibawa ke hospital menaiki ambulans yang datang 10 minit kemudian.
Kata Toyibah, kejadian itu cukup mencemaskan kerana ia pengalaman pertamanya menyambut kelahiran bayi.
Difahamkan, bayi itu berada dalam keadaan sihat dan belum diberikan nama.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof yang mengesahkan kejadian itu memaklumkaa bahawa situasi itu kali pertama berlaku di kawasan balai berkenaan.
Katanya, adalah menjadi tanggungjawab polis untuk membantu masyarakat yang memerlukan.
#Arau
#balai polis
#beranak dalam kereta
#Hospital Tuanku Fauziah
#IPD Arau
#polis
#wanita lahirkan anak dalam kereta