Tak sedar dua babi melintas

Sinar Harian
Mac 25, 2023 13:52 MYT
Dua penunggang motosikal terlibat kemalangan selepas merempuh babi melintas. -Foto Sinar Harian
SUNGAI PETANI: Dua penunggang motosikal cedera selepas terbabit kemalangan dengan dua ekor babi yang melintas jalan dalam kejadian di Semeling malam Jumaat.
Kedua-dua penunggang berusia 22 dan 35 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Semeling ke Bedong menggunakan Jalan Pintasan Semeling.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedua-dua motosikal sedang bergerak dari arah sama menuju ke hadapan di laluan tersebut.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal tidak sempat mengelak dan terlanggar babi yang secara tiba-tiba melintas dari kanan ke kiri jalan.
"Dalam masa sama, sebuah lagi motosikal yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa di hadapan.
"Kedua-duanya yang mengalami luka di muka dan tangan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk rawatan lanjut," katanya.
Katanya, kes disiasat bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1969 (Peraturan 10 LN 166/59.
Difahamkan, dua ekor babi berkenaan mati di tempat kejadian. -Sinar Harian
#babi melintas #Jalan Pintasan Semeling #Semeling ke Bedong #Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani
;