Tak sangka suspek bakar kedai ialah jiran sejak kecil - Mangsa
Norfarhiza Mohd Atar
Julai 26, 2022 07:15 MYT
Julai 26, 2022 07:15 MYT
RAUB: "Tak sangka suspek yang pecah masuk dan bakar kedai serta cederakan pembantu adalah jiran berdekatan dengan rumah saya."
Demikian kata pemilik unit Kedai Mara Felda Tersang 1, Zulaikha Jalaluddin, 38, yang meluahkan rasa terkejut apabila dimaklumkan suspek merupakan kenalan keluarganya sejak kecil.
"Walaupun suspek adalah jiran dekat rumah, tapi jarang nampak dia ada dekat kampung.
"Malahan bila saya tunjuk gambar suspek kepada 'bibik' (pembantu kedai, Nur Hasanah), pun dia tak kenal sebab suspek jarang datang ke kedai runcit kami," katanya kepada Astro AWANI, di sini, semalam.
Zulaikha berkata, sehingga kini, Nur Hasanah masih menerima rawatan di Hospital Lipis dan keadaan kesihatannya bertambah baik.
Katanya lagi, walaupun kejadian tersebut meninggalkan kesan mendalam kepadanya ekoran kehilangan punca pendapatan, namun dia tidak menyimpan dendam kepada ahli keluarga suspek.
"Memang sukar terima hakikat apabila kedai runcit yang diusahakan sejak sekian lama musnah sekelip mata, namun saya reda dan anggap ini ujian daripada Allah SWT.
"Sekarang saya perlu merencana masa depan untuk membina semula kedai runcit yang musnah terbakar kerana itu merupakan sumber pendapatan saya untuk menyara diri serta empat orang anak," jelasnya.
Dalam kejadian Sabtu lalu di Kedai Mara Felda Tersang 1, seorang pembantu kedai warga Indonesia berusia 42 tahun cedera parah apabila dipukul dengan besi, dirompak sebelum kedai dibakar.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa turut dicampak ke dinding dan lantai selain lehernya dijerut, manakala tangannya diikat menggunakan pita pelekat.
Wanita itu bernasib baik apabila terselamat daripada mati rentung setelah sempat menyelamatkan diri dengan keluar dari kedai yang terbakar itu.
Pada Ahad, suspek yang juga seorang penagih dadah berjaya ditahan di kawasan ladang Sungai Koyan, Lipis dalam satu serbuan oleh sepasukan polis kira-kira jam 7.15 malam.
Hasil siasatan polis mendapati suspek berusia 50 tahun dan tidak bekerja itu mempunyai 10 rekod lampau kesalahan dadah dan empat rekod lampau kesalahan jenayah.