Tak sangka mi goreng hidangan terakhir isteri

Sinar Harian
Mac 18, 2018 13:22 MYT
Keadaan kereta Waja yang remuk teruk. Gambar kecil: Azizah Jamaludin. -Foto Sinar Harian
Seorang isteri sempat sediakan mi goreng untuk suami dan anak bongsu sebelum maut dalam kemalangan di kilometer 59, Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja di Kampung Rhu Sepuluh, kira-kira 6.40 pagi Sabtu.
Mohd Apendi Deraman, 41, suami kepada mangsa salah seorang kemalangan tiga maut di Rhu Sepuluh, Azizah Jamaludin, 48, berkata, dia tidak menyangka mi goreng yang dimasak pagi kejadian hidangan terakhir untuk dia dan anak bongsunya, Muhammad Luqman Haikal,12.
"Tadi (pagi Sabtu) dia pesan suruh saya yang masak sebab dia dah sediakan bahan untuk masak mi goreng, tapi bangun pagi tadi, dia yang masak.
"Tak sangka pula itu hidangan terakhir dia masak untuk kami berdua sebelum 'pergi'," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Setiu, di sini.
Menceritakan ketika kejadian, Mohd Apendi berkata dia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Taman Hijrah Bari Besar sedang bersiap untuk ke satu majlis rasmi di bandar Permaisuri.
Bagaimanapun, setelah menerima panggilan kira-kira 7.30 pagi mengatakan isteri kemalangan, dia terus bergegas ke sana.
"Bila saya sampai di tempat kejadian, arwah sudah dikeluarkan daripada kereta dan kakak saya, Marina yang tersepit masih berada di tempat pemandu.
"Saya memang terkejut dan tidak menyangka tiga meninggal sekali gus, tetapi reda dengan ujian ini," katanya.
#Azizah Jamaludin #Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja #Kampung Rhu Sepuluh #kemalangan #Mohd Apendi Deraman #Muhammad Luqman Haikal #Unit Forensik Hospital Setiu
;