Tak sangka keluarkan anak sendiri, anak jiran dari dasar sungai
Sinar Harian
April 16, 2023 12:05 MYT
April 16, 2023 12:05 MYT
SEGAMAT: Bapa kepada seorang daripada dua kanak-kanak yang lemas tidak menyangka mengeluarkan mayat anak sendiri dan anak jirannya dari dasar Sungai Pulau Jering di sini pada Jumaat.
Hermee Latim, 47, berkata, kebetulan selepas kejadian tersebut dia melalui jalan di sungai berkenaan kira-kira pada jam 5.30 petang.
"Saya melalui kawasan itu dan anak kedua saya, Ahmad Aidil Kuyom, 10, yang turut berada di tebing sungai berkenaan memaklumkan kejadian itu.
"Dia mengatakan abangnya bersama seorang rakan hilang dalam sungai tersebut.
“Saya tidak mengesyaki sesuatu yang buruk pada awalnya.
"Namun saya mulai mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa anak dan anak jiran saya apabila mereka tidak kelihatan di permukaan sungai.
"Saya terus terjun ke dalam sungai untuk mendapatkan mereka berdua," katanya ketika ditemui di Tanah Wakaf Perkuburan Islam di Kampung Bukit Tunggal di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 5.15 petang Jumaat, Ahmad Muhammad Hermee, 12, anak sulung daripada empat beradik dan Muhammad Khalifi Kamaruzaman, 13, anak sulung daripada dua beradik, lemas semasa mandi di Sungai Pulau Jering, Kampung Bukit Tunggal di sini.
Mengulas lanjut, Hermee berkata, sebaik berjaya dikeluarkan dari dasar sungai mendapati kedua-duanya tidak sedarkan diri dan keadaan itu membuatkannya terduduk dan hampir pitam.
"Tak sangka sama sekali saya sendiri ditakdirkan mengeluarkan anak saya dan anak jiran dari dasar sungai tersebut," katanya.
Menurutnya, kedua-duanya kemudian dibawa ke klinik swasta berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia.
Hermee yang masih trauma dengan kejadian tersebut, reda dengan ujian berat itu namun merasakan hikmah tersirat di sebalik anak dan anak jirannya kembali kepada pencipta-Nya pada Jumaat malah dalam Ramadan.
Katanya, jenazah kedua-duanya dikebumikan dalam satu liang lahad selepas solat zuhur pada Sabtu.
Sementara itu, suasana sedih menyelubungi kawasan tanah perkuburan itu semasa upacara pengkebumian dua kanak-kanak berkenaan.
Terdahulu, jenazah tiba dari Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) selepas menjalani proses bedah siasat pada jam 12.45 tengah hari sebelum solat jenazah di rumah keluarga mangsa.
Kira-kira 250 penduduk kampung termasuk saudara mara dan kenalan hadir pada pengebumian berkenaan untuk memberi penghormatan terakhir kepada mangsa. -Sinar Harian