'Tak sangka dua anak 'pergi' serentak'

Sinar Harian
April 27, 2022 06:45 MYT
Antara sanak saudara yang menziarah keluarga Farizuddin. - Foto Sinar Harian
PETALING JAYA: Suasana pilu menyelubungi kawasan kediaman dua beradik, Nayli Ulfa Farizuddin, 15, dan adiknya, Nuf Amni Farizuddin, 11, yang maut dilanggar lori di Jalan PJS 3/2, Taman Medan di sini pada Selasa.
Tiada kata-kata yang dapat diucapkan bapa mereka, Farizuddin Mat Saad, 52, untuk menggambarkan kesedihan selepas dua anak perempuan kesayangannya itu meninggal dunia serentak.
Farizuddin berkata, dia tidak menyangka Nayli Ulfa dan adiknya, Nuf Amni yang begitu rapat sejak seminggu akhir ini akan pergi buat selama-lamanya bersama.
"Mereka sebelum ini sama seperti adik beradik lain, kerap bergaduh tetapi akan berbaik semula, ibarat air dicincang tak akan putus.
"Tetapi dalam seminggu akhir ini mereka sangat rapat, buat apa sahaja bersama-sama, pergi ke mana-mana pun berdua hingga hari kejadian semalam pun mereka masih berdua," katanya ketika ditemui di rumahnya di Desa Mentari di sini pada Rabu.
Dia berkata, semasa kejadian, Nuf Amni membonceng motosikal yang ditunggang kakaknya, Nayli Ulfa untuk membeli makanan.
"Sebelum mereka keluar saya nampak mereka naik motor, tapi itulah, benda nak jadi dah sampai ajal.
"Dua itu sahajalah anak saya, saya reda," katanya.
"Saya dapat tahu dalam jam 9 malam selepas Isyak, masa itu saya di surau. Persatuan komuniti ada yang kongsi kejadian tersebut dalam grup WhatsApp mengatakan ada dua budak kemalangan.
"Mula-mula itu saya tak tahu siapa, lepas saya tengok gambar saya terus cam itu motosikal saya.
"Saya terus telefon anak tetapi tidak berangkat. Kemudian saya telefon lagi sekali tetapi orang lain yang angkat," katanya.
Menurutnya, sejurus tiba di lokasi kejadian jenazah kedua-dua anaknya itu sudah ditutup dengan kain.
"Sampai sahaja saya nampak dah ditutup dengan kain, saya berkata dalam hati memang anak-anak aku dah tiada.
"Saya pun pergi buka kain untuk melihat dan memang betul kata hati saya, memang itu anak saya," katanya.
Menurut Farizuddin, dia belum membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri memandangkan bercadang untuk pulang beraya di kampungnya di Kedah selepas sekian lama tidak pulang berikutan Covid-19.
"Baju raya semua belum beli lagi, masih dalam perancangan," katanya.
Media pada Rabu melaporkan kejadian dua beradik maut akibat dilanggar sebuah lori dalam kejadian di Taman Medan di sini sekitar jam 8.54 malam pada Selasa.
Polis dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan mendapati motosikal dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum dilanggar oleh lori terbabit.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#maut dilanggar lori #Nayli Ulfa Farizuddin #Nuf Amni Farizuddin #Farizuddin Mat Saad
;