'Tak sangka berubah jadi pendiam adalah petanda dia mahu pergi'
Astro Awani
Mac 15, 2015 22:25 MYT
Mac 15, 2015 22:25 MYT
“Saya tak menyangka perangainya yang berubah menjadi pendiam adalah petanda dia mahu pergi.”
Itu luahan Abdul Aziz Yahya,38, sepupu kepada Ramlah Adam, 38, yang maut bersama ahli keluarganya dalam kemalangan di Langu, Satun, Thailand kira-kira jam 4 petang semalam.
Menurutnya, suami Ramlah, Abdul Rahman Abdullah, 46, dan ahli keluarga pergi ke Thailand untuk menjemput isterinya pulang selepas mendapatkan rawatan akibat demam selepas bersalin anak bongsu.
Abdul Aziz berkata ada berjumpa Abdul Rahman untuk bertanyakan bila dia akan ke Thailand seminggu sebelum kejadian.
"Dia cuma diam saja, macam fikir sesuatu. Jadi saya pun tak apalah, mungkin dia pun ada kerja. Itulah kali terakhir berbual dengan dia," kata Abdul Aziz.
Selain Abdul Rahman dan isteri Ramlah Adam, mangsa lain termasuk lima anak mereka Rofendi Abdul Rahman, 23 (cedera parah); Nur Aneesa Abdul Rahman, 21 (meninggal); Mehad Abdul Rahman, 7 (meninggal); Nazmi Abdul Rahman, 5 (cedera); dan Hajimudin, 3 bulan (meninggal), serta cucu Naumi Nasaee, 2 (cedera).
Jenazah lima mangsa terbabit telah disemadikan di tanah perkuburan Masjid Sadao, Thailand petang tadi.
Kesemua mangsa yang cedera pula dirawat di Hospital Satun.
Dalam kejadian itu Perodua Alza yang dinaiki mereka dikatakan dipandu laju ketika melalui jalan berselekoh menyebabkan ia terbabas dan merempuh tiang lampu di tepi jalan di Daerah Langu dekat Satun.
Sumber Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla mengesahkan kejadian.