Tak sangka abang pergi ketika buat aktiviti yang diminati - Adik mangsa nahas helikopter

Hasimi Muhamad
November 9, 2020 17:23 MYT
Ibu kepada jenazah mangsa helikopter terhempas Intan Omar, 76, menyiram air mawar ke pusara anaknya Allahyarham Komander (B) Mohamed Sabri Baharom di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keluarga Allahyarham Komander (B) Mohd Sabri Baharom tidak menyangka Allahyarham akan menghembuskan nafas terakhir ketika melakukan aktiviti yang paling digemarinya.
Adik Allahyarham, Mohd Faris Baharom, 40, berkata arwah begitu meminati dunia penerbangan sejak menceburi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“(Arwah) suka terbang, kadang-kadang saya pun ikut terbang sekali dengan dia. Dia punya minat, saya tidak sangka sampai dia pergi pun ketika dia buat apa yang dia minat.
“Saya rasa sudah lebih 20 tahun (berkecimpung dalam dunia penerbangan) dan dia sudah bersara tetapi masih terbang,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves di sini pada Isnin.
Mohd Faris berkata kali terakhir dia membuat penerbangan bersama Allahyarham Mohd Sabri adalah pada Hari Malaysia lepas.
Mengulas mengenai kejadian pula, Mohd Faris berkata dia antara orang terawal yang menerima panggilan telefon selepas insiden nahas tersebut sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebab orang biasa terbang dia ada banyak sejarah silam, kalau helikopter atau kapal terbang jatuh, kita tidak mahu kalau boleh nampak perkara-perkara yang tak baik kan.
"Kalau dah nampak, tak boleh cakap apa...," katanya lagi.
Berkongsi mengenai perwatakan arwah abangnya itu, Mohd Faris berkata Allahyarham mengambil tugas menggalas tanggungjawab menjaga ibu mereka, Intan Omar, 76, sejak arwah bapanya meninggal dunia pada 2006 akibat sakit tua.
"Arwah memang jaga emak, sebab dia pun masih bujang.
"Macam saya walaupun tidak tinggal satu rumah, kita sentiasa berkumpul. Jadi, dia macam ayah saya nombor dua.
"Arwah memang seorang yang tak banyak cakap. Jadi, dia sejak dari kecil memang tidak banyak cakap. Jadi seperti biasa tiada (pesanan terakhir)," katanya lagi.
BACA: LAPOR LANGSUNG: Helikopter terhempas di Taman Melawati
BACA: Nahas helikopter Taman Melawati: Jenazah Allahyarham Mohd Sabri selamat dikebumikan
BACA: Nahas helikopter Taman Melawati: Allahyarham Mohd Sabri tinggalkan legasi - Panglima TLDM
Untuk rekod, Allahyarham Sabri berkhidmat dalam TLDM hampir 30 tahun sebelum bersara sebagai Komander.
Pada tahun 2010, Allahyarham Sabri yang merupakan anak kedua daripada enam adik beradik menyertai dunia penerbangan komersial dengan sebuah syarikat penerbangan di Asia Barat.
Allahyarham kemudian menyertai syarikat My Heli Club sebagai Ketua Instruktur Penerbangan, dua tahun lalu.
#Islam #TLDM #meninggal dunia #nahas helikopter #Komander B Mohd Sabri Baharom #Mohd Irfan Mohamed Rawi #Dunia penerbangan #Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah
;