Tak sampai 24 jam insiden kebakaran, Ekspo Aidilfitri Temerloh dilanda pula banjir kilat

Sinar Harian
Mei 2, 2021 10:28 MYT
Tidak sampai 24 jam selepas insiden kebakaran, peniaga Ekspo Aidilfitri Temerloh di sini diduga lagi selepas tapak tersebut dilanda banjir kilat pada petang Sabtu. -Foto Sinar Harian
TEMERLOH: Tidak sampai 24 jam selepas insiden kebakaran, peniaga Ekspo Aidilfitri Temerloh di sini diduga lagi selepas tapak tersebut dilanda banjir kilat pada petang Sabtu.
Sebelum itu, satu kanopi yang menempatkan seorang peniaga pakaian hari raya terbakar pada pagi Sabtu.
Banjir kilat mencecah paras lutut itu berlaku selepas hujan lebat kira-kira jam 5.30 petang dan dipercayai surut sepenuhnya kira-kira jam 7 petang Sabtu.
Peniaga pakaian raya, Yanti Heryani Putri M Rizal Bujang, 39, berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM25,000 selepas ratusan baju Melayu dan kurta yang dijual rosak akibat ditenggelami air.
"Semua stok baju saya letak di bawah atas para yang dibina dan saya tidak sangka air naik sehingga paras itu.
"Ini kejadian kali pertama saya hadapi selepas beberapa tahun meniaga di sini," katanya pada Sinar Harian.
Menurutnya, ketika kejadian dia berada di rumah sebelum menerima panggilan daripada sepupu dan bergegas ke tempat kejadian.
"Sampai sahaja air telah naik dan saya tidak dapat menyelamatkan stok yang ada.
"Termenung sekejap memikirkan nasib diri tapi saya reda dengan ujian ini," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga emas hiasan Korea, Jusnati Mustapa, 37, berkata dia terkejut selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu.
Katanya, ketika kejadian dia berada di rumah dan terkedu selepas tiba di tapak ekspo terbabit.
"Sampai sahaja air sudah memenuhi tapak ekspo. Syukur juga sebab air cepat surut dan saya boleh berniaga macam biasa malam ini (Sabtu)," katanya yang sudah empat tahun berniaga di tapak terbabit.
Berita asal: 'Dugaan lagi, ekspo Aidilfitri dilanda banjir kilat'
#Ekspo Aidilfitri Temerloh #banjir kilat #kanopi #peniaga #hari raya #Yanti Heryani Putri M Rizal Bujang #kurta #Jusnati Mustapa #kebakaran
;