'Tak perlu pujuk, memang tanggungjawab saya hadir mesyuarat PKR'
Sinar Harian
Oktober 15, 2019 19:25 MYT
Oktober 15, 2019 19:25 MYT
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini berkata, beliau menolak sebarang usaha memujuknya bagi menghadiri mesyuarat atau aktiviti parti itu pada masa hadapan.
Sebaliknya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menegaskan, urusan menghadiri apa jua program melibatkan PKR adalah menjadi tanggungjawabnya sekiranya tidak terbabit dengan urusan kerajaan termasuk di peringkat negeri.
Selain itu, Mohamad Azmin sekali lagi turut menafikan dakwaan berlaku pergeseran di antara beliau dan Anwar sebagaimana didakwa Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Syed Husin Ali sebelum ini.
"Ada ke pergolakan (dengan Anwar)? Tidak. Itu pandangan media.
"Sebagai orang Islam, kita mesti disuruh untuk adakan muhasabah (merujuk kenyataan beliau meminta Anwar bermuhasabah diri sebelum ini).
"Mengapa perlu dipujuk untuk hadiri mesyuarat? Itu tanggungjawab saya, ada pertemuan parti saya pergi, ada perbincangan parti saya hadiri.
Kalau tiada tugas kerajaan, pastinya saya akan bersama-sama dalam program parti dan kepimpinan parti peringkat negeri, " katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Azmin turut mengesahkan pertemuannya dengan Anwar tengah hari tadi adalah semata-mata membincangkan isu ekonomi negara.
Menurutnya, isu memulihkan ekonomi negara adalah tanggungjawab besar perlu digalasnya dengan Anwar turut memberikan pandangan bagaimana memastikan usaha dapat dijalankan secara bersama dan efektif.
"Kita, ada masa dan ketika, bincang soal parti dan ada masa dan ketika bincang isu rakyat kerana mandat diberikan rakyat terlalu besar untuk pulih ekonomi
"Itu tanggungjawab perlu saya galas dalam memastikan tahap sosio ekonomi rakyat dapat diberi perhatian.
"Justeru,saya dan Anwar bincang panjang kerana melihat belanjawan 2020 sebagai langkah pertama merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama tahun 2030, maka sudah tentu beliau beri pandangan bagaimana usaha ini dapat dilakukan secara bersama dan lebih efektif," katanya.
Hari ini, Anwar menafikan pertemuan santainya bersama Mohamed Azmin di kafe Parlimen tengah hari tadi adalah bertujuan berdamai antara satu sama lain.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan pertemuan yang turut disertai Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada jam 12.30 tengah hari tadi adalah satu mesyuarat biasa untuk membincangkan masalah ekonomi negara.
Menurutnya, isu dalaman berkenaan PKR masih terkawal dengan parti masih diuruskan dengan baik.
#Anwar Ibrahim
#Azmin Ali
#menteri
#Menteri Hal Ehwal Ekonomi
#Parti Keadilan Rakyat
#PKR
#Syed Husin Ali