'Tak perlu lagi tunggu berjam-jam' - Anwar mahu penjawat awam tingkat perkhidmatan

Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 17, 2024 17:24 MYT
Anwar (berdiri, kiri) menyampaikan ucapan perasmian penutup Program MADANI Rakyat Zon Selatan di Dataran UTM, Skudai hari ini. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mutu perkhidmatan penjawat awam di seluruh negara perlu setanding dengan pelarasan gaji yang dinikmati mereka seperti diumumkan pada Jumaat.
"Ada janji, ada ikrar, mulai Isnin ini setiap penjawat awam masuk kerja mengikut waktu yang ditetapkan, kerja bersungguh-sungguh dan tingkatkan prestasi.
"Rakyat boleh nilai dan jika ada kelemahan boleh laporkan supaya tindakan dapat diambil
"Jadi saya harap rakyat menilai, kalau ada di mana mana pejabat daerah atau pejabat Persekutuan atau agensi di mana ada kelemahan mesti segera melaporkan.
"Apabila kita bagi ganjaran (kenaikan gaji) kalau ada kecuaian, saya nak minta KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan KKPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) supaya ambil tindakan segera, supaya nama baik penjawat awam dipertahankan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan dam Setahun Ekonomi Madani di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, di sini hari ini.
Anwar menjelaskan, kenaikan gaji itu bukan dibuat secara suka-suka tetapi merupakan satu reformasi dalam perkhidmatan awam.
"Selepas ini orang kampung tidak perlu lagi menunggu sehingga berjam-jam (untuk berurusan dengan penjawat awam dan di pejabat kerajaan)," katanya.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji secara berfasa sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional manakala pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi adalah sebanyak tujuh peratus.
#Anwar Ibrahim #Gaji penjawat awam #tunggu lama #perkhidmatan pejabat kerajaan