Tak perlu hadir perhimpunan ICERD - Anwar Ibrahim
Diyana Ibrahim
Disember 6, 2018 16:48 MYT
Disember 6, 2018 16:48 MYT
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak pelawaan menghadiri Perhimpunan Perhapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada Sabtu ini sekali gus menegaskan pendiriannya berhubung itu adalah jelas.
Anwar berkata, beliau menyokong keputusan Putrajaya membatalkan ratifikasi ICERD dan diterjemahkannya dengan membawa usul berkenaan di Parlimen.
"Saya baca liputan media dan (cukuplah) saya bawa usul ke sini. Pendirian saya cukup jelas dalam soal ICERD, kita menyokong pendirian kabinet.
"Ia cukup kuat (usul) jadi saya tak perlu hadir," katanya di Lobi Parlimen hari ini.
Anwar berkata demikian sebagai mengulas pelawaan penganjur perhimpunan ICERD kepada beliau.
Beliau turut memberitahu, usul yang dibawa ke Parlimen sudah cukup kuat dan akan meredakan keresahan masyarakat berhubung isu tersebut.
Usulnya itu akan dibahas oleh beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang seperti veteran DAP, Lim Kit Siang, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Usul Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff di bawah Peraturan Mesyuarat 18 yang menyatakan tidak ada keperluan segera isu itu dibahaskan.
Walau begitu, Speaker membenarkan Anwar untuk menjelaskan tujuan usul itu dibahas dalam Dewan Rakyat.
Sementara itu, ditanya mengenai apakah cabaran paling besar yang perlu dihadapi negara pada tahun
2019 pula, Anwar berkata, negara sebetulnya sedang berdepan dengan cabaran ekonomi.
"Cabarannya adalah ekonomi, walau kita nampak isu yang sering ditekankan ialah isu perpaduan tapi bagi saya tetap adalah ekonomi," kata Anwar lagi.
#ahli Parlimen
#Anwar Ibrahim
#bahas
#ekonomi
#ICERD
#Parlimen
#Port Dickson
#Speaker Dewan Rakyat
#usul