"Tak payah balik... nyawa itu lebih penting" - Fauziah Nawi pesan jangan balik kampung

Astro Awani
Mei 21, 2020 13:14 MYT
Dlam keadaan negara berhadapan COVID-19, Fauziah menasihati orang ramai khususnya peminat-peminat beliau agar melupakan hasrat untuk balik kampung. - Gambar Instagram FAUZIAH NAWI
KETIKA sebilangan rakyat Malaysia yang menjalani hidup di perantauan mula mengatur rancangan untuk pulang ke kampung di sebalik gesaan kerajaan tidak berbuat demikian, pelakon veteran, Fauziah Nawi berkongsi pesanan.
Sebagai seorang ibu, Fauziah tentu sekali memahami bahawa berhimpun bersama anak cucu di pagi 1 Syawal merupakan detik yang terlalu bermakna.
Namun, dalam keadaan negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang boleh menyebabkan kematian, seniwati tersohor itu menasihati orang ramai khususnya peminat-peminat beliau agar melupakan hasrat untuk balik kampung.
Katanya, daripada menangis di kemudian hari, ada baiknya orang ramai tinggal di rumah dan beraya seadanya.
Dalam pesanan yang dimuat naik di akaun Instagram perbadinya, Fauziah berkata, sebelum ini, semua orang sering pulang ke kampung dan menyambut lebaran bersama.
Cuma kali ini, tegas beliau, situasi tidak membenarkan Aidilfitri disambut seperti kelazimannya.
“Tak payah balik, mak okey. Janganlah degil. Dah berapa tahun kita selalu sambut raya bersama, kan. Kali ini aje tak. Nyawa itu lebih penting... Insya-Allah nanti kita dapat bersama," kata pelakon berusia 67 tahun itu lagi.
Dalam video berkenaan, Fauziah turut berpesan pada orang ramai agar sentiasa menitik beratkan aspek kebersihan diri dengan selalu mencuci tangan selain mengamalkan penjarakan sosial bagi memastikan COVID-19 dapat dibendung.
Sehingga pukul 1 tengah hari Khamis, video nasihat Fauziah sudah ditonton oleh hampir 30,000 pengikutnya di Instagram.
#COVID19 #Fauziah Nawi #jangan balik kampung #mak okey #pelakon veteran #pesanan
;