'Tak patut naik harga kalau perkhidmatan bas, teksi tak memuaskan' - Pemuda UMNO
Huzaifah Abd Jamil
Mac 20, 2015 17:49 MYT
Mac 20, 2015 17:49 MYT
Pergerakan Pemuda UMNO mendesak sebarang kenaikan harga perkhidmatan teksi dan bas oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mesti disusuli penambahbaikan kualiti perkhidmatan.
Exco Bahagian Kepenggunaan, Alam Sekitar dan Kualiti Hidup Pemuda UMNO, Mohd Ar Rahman Husin menegaskan, kadar kenaikan tambang sebanyak 40 peratus yang diumumkan terlalu mendadak sekali gus membebankan pengguna.
"Kalau naik harga tetapi masih ada segelintir golongan pemandu teksi atau pengusaha bas ekspres yang tidak memberikan kualiti di peringkat yang memuaskan, saya rasa itu tidak patut.
"Selaku pengguna, saya mahukan perkhidmatan yang berkualiti," ujarnya selepas penyerahan memorandum bantahan terhadap kenaikan harga bagi perkhidmatan bas ekspres dan teksi oleh SPAD di hadapan ibu pejabatnya di KL Sentral pada Khamis.
Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar semalam mengumumkan penetapan kadar baharu bagi perkhidmatan teksi akan berkuatkuasa serta-merta manakala bagi bas ekspres pula bermula pada 15 Mei ini.
Menurut Syed Hamid, penetapan kadar baharu itu berikutan berlakunya kenaikan kos termasuk penyelenggaraan, insurans dan kos sara hidup.
Dalam pada itu, Mohd Ar Rahman turut menimbulkan persoalan sejauh manakah peningkatan kualiti pengangkutan awam yang ditunjukkan sejak kenaikan tambang terakhir pada 2009.
“Pihak kami memohon SPAD supaya mengkaji semula pelaksanaan kenaikan tambang ini dan menangguhkan perlaksanaannya buat sementara waktu sehingga pertemuan dan perbincangan dapat dilakukan bersama-sama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dan juga konsultasi awam dapat dilaksanakan,” jelasnya.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun menegaskan di laman Twitternya, pihaknya tidak boleh menerima sebarang alasan kenaikan harga tambang seperti diumum SPAD.