Tak nampak kemalangan di hadapan, penunggang motosikal maut rempuh kereta

Adie Sufian Zulkefli
Disember 12, 2019 18:41 MYT
Akibat rempuhan itu, mangsa maut ditempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. - Foto Astro AWANI
Akibat tidak nampak kemalangan yang berlaku di hadapan, seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang Khamis, mangsa Elyamirul Baseri, 28 tahun, melanggar bahagian depan kereta Proton Saga BLM yang sedang berhenti di Jalan Kampung Batu Belah Batu Bertangkup, Kedawang, Langkawi.
Akibat rempuhan itu, mangsa maut ditempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan selepas tercampak 10 meter di belakang kereta.
Sebelum kejadian, satu kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenias Nissan Almera dan kereta Proton Saga BLM telah berlaku di lokasi berkenaan.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, sebaik menerima panggilan, sebuah jentera bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra, dikejarkan ke tempat kejadian.
Setibanya di lokasi, motosikal mangsa didapati melekat pada bahagian hadapan kereta Proton Saga berkenaan, manakala mangsa dilihat terbaring di atas jalan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM Kedah #Kampung Batu Belah Batu Bertangkup #kemalangan motosikal #Polis Daerah Langkawi
;