Tak mustahil PKPD di Kuala Lumpur - Ismail Sabri

Ridauddin Daud
November 16, 2020 18:04 MYT
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia hanya akan ditentukan KKM selepas penilaian risiko dilakukan di kawasan itu. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Berikutan kes COVID-19 yang semakin meningkat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tidak mustahil Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kawasan tersebut.
Begitupun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia hanya akan ditentukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas penilaian risiko dilakukan di kawasan itu.
“Setelah buat penilaian risiko, berdasarkan jumlah kes yang ada, berdasarkan kebarangkalian jangkitan di situ, jadi KKM akan cadangkan pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kita akan tentukan berdasarkan cadangan daripada KKM.
“Setakat ini, kita serahkan kepada KKM, tidak ada cadangan baru tentang PKPD di kawasan tertentu. Setakat ini masih lagi PKPB di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.
BACA: COVID-19 di Malaysia: 1,103 kes baharu
Dalam pada itu, kerajaan juga bercadang untuk memperketatkan pemantauan melibatkan pekerja asing dalam sektor pembinaan dan industri lain memandangkan kes COVID-19 membabitkan mereka semakin meningkat.
Ismail Sabri berkata, usaha itu perlu dilakukan bagi memastikan virus tersebut tidak merebak ke dalam komuniti.
“Sebab itulah kita tengah membuat penilaian. Selain dari swab test, bagaimana hendak kawal pergerakan mereka dari menjangkiti komuniti lain.
“Tapi ya, kalau jawapan untuk memperketatkan, ya kita memang bercadang untuk memperketatkan bukan saja pekerja pembinaan tapi pekerja sektor industri lain tapi bagaimana?
“Tunggulah pembentangan dari Kementerian Sumber Manusia nanti,” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.
#PKPB #PKPD #Kuala Lumpur #wilayah #ismail sabri yaakob #KKM #Menteri Kanan #Menteri Pertahanan #Kementerian Kesihatan #keselamatan #pekerja asing #COVID-19 #Majlis Keselamatan Negara #MKN #Kluster Damanlela
;