'Tak mungkin dapat dibaiki dalam setahun'
Sinar Harian
April 20, 2019 19:25 MYT
April 20, 2019 19:25 MYT
Kerosakan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh 60 tahun tidak mungkin dapat diperbaiki hanya dalam tempoh setahun.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini sedang berusaha meletakkan kembali negara pada landasan yang betul, dan pastinya ia memerlukan lebih masa.
Menurutnya, banyak aspek perlu dipulihkan termasuk pengurusan ekonomi, kewangan serta pentadbiran negara, dan bukan sekadar untuk memenuhi janji manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Mana mungkin kerosakan itu dapat kita perbaiki hanya dalam tempoh setahun. Tugas kerajaan sekarang adalah untuk kembalikan Malaysia pada landasan yang betul dalam semua aspek,” katanya selepas merasmikan program Komuniti Sihat Masyarakat Sejahtera (G-Kom) KRT Kampung Alor Gandak, di sini, hari ini.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara itu berkata, kerosakan dialami negara adalah pelbagai, antaranya aspek pentadbiran yang melibatkan dakwaan salah guna kuasa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Kes perbicaraan Najib dedahkan pengurusan pincang apabila kos membina stor dapur rumah pun dibayar pada harga terlalu tinggi.
"Ini termasuk kes penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dipercayai terlibat dengan kegiatan rasuah,” katanya.
Menurutnya, semua kerosakan dalam negara itu perlu ditangani terlebih dahulu, tanpa meminggirkan keperluan rakyat.
“Kita berjaya kesan pelbagai kerosakan yang berlaku sepanjang BN perintah, ia merangkumi banyak aspek. Sudah tentu semua masalah itu tidak dapat kita selesaikan dalam tempoh singkat,” katanya.
Mahfuz berkata, ini termasuk proses pemutihan yang sedang berlangsung untuk mengenal pasti kepincangan pentadbiran lalu.
“Pada masa sama, kerajaan turut membangunkan negara dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin menegaskan, kerajaan PH memerlukan enam bulan lagi untuk memulihkan negara selepas mengambil alih pentadbiran Mei tahun lalu.
Beliau berkata, dalam tempoh itu PH perlu berdepan dengan rakyat dan memberi penerangan tepat terutama hal ekonomi agar rakyat memahami situasi.
Daim yakin dalam tempoh enam bulan lagi, banyak perkara akan menjadi lebih stabil.
Beliau turut mengaitkan kekalahan PH di pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Rantau sebahagian manifestasi kemarahan rakyat terhadap kerajaan disebabkan kenaikan harga barang.
Namun, beliau percaya persepsi rakyat akan bertambah baik selepas kerajaan menyelesaikan permasalahan seperti kenaikan kos sara hidup dan menunaikan janji manifesto lalu.
#Barisan Nasional
#ekonomi
#janji
#kerajaan
#kerosakan
#Mahfuz Omar
#Manifesto
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#pengurusan pincang
#perbicaraan
#pilihan raya umum
#proses pemutihan
#PRU14
#rakyat
#Rasuah
#salah guna kuasa