Tak kira siapa ketuai UIAM, yang penting hak bersuara dipelihara - Syed Saddiq

Azyyati Ahmad
September 6, 2018 17:31 MYT
Jelas Syed Saddiq, isu yang perlu ditekankan adalah prinsip bersuara dan hak akademik diperkasa bukan siapa yang menjadi ketua. - Foto Astro AWANI
Tidak kira siapa pun yang mengetuai Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), apa yang penting adalah hak mahasiswa dalam bersuara dipelihara.
Itu antara reaksi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai pelantikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebagai Presiden UIAM.
Jelas Syed Saddiq, isu yang perlu ditekankan adalah prinsip bersuara serta hak akademik diperkasa dan bukannya siapa yang menjadi ketua.
“Saya tidak dapat memberi reaksi penuh kerana belum bertemu Dr Maszlee mengenai perkara ini, tetapi apa yang mustahak sekali adalah sesiapa pun yang menjadi Presiden sama ada dia Pro Umno, PH atau Pas, dia kena pastikan hak bersuara, memberi pandangan dan hak akademik akan terus dipelihara dan dipertahankan,” katanya.
Ahli Parlimen Muar itu turut berkongsi pengalamannya sebelum ini yang kehilangan kerja di UIAM dan anak didiknya diugut hanya kerana keterbukaan dalam memberi pandangan.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kunci Rumah Pertamaku anjuran Far Capital Sdn Bhd di Ibu negara.
Pelantikan Maszlee sebagai Presiden UIAM menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim menimbulkan polemik kerana beliau merupakan seorang menteri dan Ahli Parlimen Simpang Renggam.
Pelantikan itu dikatakan melanggar Manifesto PH yang sebelum ini melaungkan tidak akan ada lantikan politik dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
#Dr Maszlee Malik #Menteri Belia dan Sukan #UIAM #Universiti Islam Antarabangsa #yed Saddiq Syed Abdul Rahman
;