Tak jadi 'raya'?

Ts Mohd Soffian Osman
Mei 12, 2021 08:03 MYT
Walaupun tak dapat balik kampung, persediaan hari raya tetap diteruskan. - Gambar fail
11 MEI 2021
Ada dua perkara yang dikongsikan secara ‘sakan’ di media sosial bermula Isnin iaitu:
  1. Rakyat mula marah sebab Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berubah-ubah
  2. Tak jadi raya sebab pengumuman PKP 3.0
SOP
Semua sedia maklum bahawa kita sekarang berada dalam situasi genting mendepani wabak COVID-19 yang mula mengganas semula.
Dalam tempoh 10 hari kebelakang (1 - 10 Mei sahaja) jumlah kes individu yang disahkan positif ialah 35,771 orang dengan kes baru harian tertinggi ialah 4,519 pada 8 Mei yang lalu.
Kes keseluruhan COVID-19 setakat 10 Mei adalah sebanyak 444,484 melibatkan sejumlah 1,807 kluster dan Telah mengakibatkan 1,700 kematian.
Manakala kes aktif pula sebanyak 37,396 kes melibatkan 448 kluster dengan kadar kebolehjangkitan atau Ro/Rt untuk seluruh negara adalah 1.13.
Untuk makluman, kes harian yang dicatatkan sekarang adalah dalam trend menaik dan membimbangkan berikutan kes sebenar ini adalah jauh lebih tinggi dari kes yang dijangkakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) (mengikut kadar kebolehjangkitan atau Ro/Rt = 1.2) sejak pertengahan April lalu.
Jadi tidak hairanlah jika SOP yang dikeluarkan berlaku perubahan dan adakalanya sangat drastik kerana situasi semasa atau trend jangkitan wabak ini yang sentiasa berubah-ubah (dinamik) dan bukannya statik.
Seumpama dalam suatu peperangan, strategi perang harus diubah sesuai dengan ketumbukan dan kekuatan pihak musuh bagi memastikan kita memenanginya.
Dalam menangani situasi semasa, segala langkah yang perlu mesti dilakukan oleh pihak berkaitan khususnya KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memastikan situasi sedia ada tidak bertambah teruk sehingga menjadi tidak terkawal seperti yang berlaku di beberapa negara lain seperti India dan Brazil.
Bak kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kita tidak mahu sampai ketikanya terpaksa memilih ‘siapa yang mesti hidup dan siapa yang perlu mati’.
Pun begitu, perubahan SOP bukanlah berlaku secara semberono, sebaliknya telah melalui pelbagai fasa termasuklah analisa risiko dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
PKP 3.0 dan hari raya
Firman Allah SWT yang bermaksud : ‘Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa Ramadan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu supaya kamu bersyukur.’ - (Surah al-Baqarah : Ayat 185)
Berdasarkan ayat yang tersebut di atas, jelas pada kita umat islam, apabila kita telah menyempurnakan puasa yang diwajibkan kepada kita sepanjang bulan Ramadan, maka kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada setiap 1 Syawal.
Jadi sebenarnya, tidak timbul isu ‘tak jadi raya’ sebaliknya suasana hari raya yang biasanya disambut penuh meriah dengan aktivit balik ke kampung halaman, beraya bersama sanak saudara, berkunjung ke rumah jiran tetangga, rumah terbuka, dan lain-lain tidak dapat diteruskan untuk tahun kedua bagi mematuhi norma baharu yang telah ditetapkan.
Cumanya perasaan kecewa tetap wujud dalam segelintir diri rakyat negara ini, lebih-lebih lagi mereka yang telah ‘berhabis’ dalam berbelanja untuk kelengkapan hari raya, selain ada yang telah mengambil cuti bagi perancangan perjalanan pulang ke kampung dalam kawasan yang dibenarkan.
Hal ini berlaku berikutan pengumuman SOP Aidilfitri oleh kerajaan pada 4 Mei yang membenarkan sambutan aidilfitri dalam kalangan rakyat dengan tempoh masa dan jumlah pengunjung berbeza di kawasan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
Namun semuanya terbantut apabila Perdana Menteri sekali lagi mengumumkan PKP versi 3.0 bermula 12 Mei ini.
Pun begitu, kita faham bahawa keputusan untuk menguatkuasakan semula PKP adalah satu keputusan yang terpaksa diambil oleh pihak kerajaan berikutan keadaaan semasa yang mendesak.
Harapan dan cadangan
Suka atau pun tidak, negara akan memasuki fasa ketiga PKP bermula 12 Mei hingga 7 Jun ini seperti yang telah diumumkan dan sebagai rakyat yang prihatin kita tidak ada pilihan lain selain terpaksa akur dengan ketetapan tersebut demi menangani COVID-19 yang melanda negara.
Walau bagaimanapun, keputusan kerajaan untuk mebenarkan sektor ekonomi berjalan seperti biasa seperti mana pada fasa PKP 2.0 sebelum ini perlu dikaji semula.
Menurut data yang diperolehi dari KKM, sepanjang 4 bulan pertama tahun 2021, sebanyak 746 kluster daripada 1,144 kluster baharu yang dilaporkan adalah kluster berkaitan tempat kerja.
Ini bermakna sebilangan besar daripada jumlah kes baharu harian COVID-19 adalah datang dari kluster tempat kerja dengan majoritinya adalah dari sektor pembinaan dan perkilangan.
Malahan perlaksanaan PKP 2.0 yang telah dikuatkuasakan pada 13 Januari yang lalu kelihatan tidak berjaya dalam membendung peningkatan kes harian COVID-19 terutamanya dalam kalangan kluster berkaitan tempat kerja.
Oleh yang demikian, adalah amat diharapkan agar pihak kerajaan khusunya Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan yang bertanggungjawab memberi nasihat kepada kerajaan berkaitan perlaksanaan PKP ini untuk menyemak semula keputusan kebenaran ke atas sektor ekonomi untuk beroperasi dalam waktu PKP 3.0 ini.
Tidak dinafikan bahawa ekonomi negara akan terjejas jika sektor ekonomi terpaksa ditutup dalam perlaksanaan PKP kali ini, namun perlaksanaan PKP yang berulang-ulang sebenarnya lebih banyak memberi kesan negatif terhadap perniagaan terutamanya perniagaan berskala kecil.
Mengambil model perlaksanaan PKP 1.0 pada tahun lalu menyaksikan hanya sektor penting sahaja dibenarkan operasi sepanjang tempoh berkuatkuasanya PKP bagi memudahkan kawalan pergerakan rentas daerah dan negeri.
Dalam masa yang sama, PKP 1.0 telah terbukti yang berjaya menurunkan kes harian baharu sehingga ke angka satu digit, selain dapat mengurangkan beban tugas para pertugas barisan hadapan dan turut membantu mengurangkan kesesakan fasiliti kesihatan awam.
Kerajaan juga digesa menguatkuasakan PKP secara menyeluruh dan lebih tegas tanpa wujud sebarang elemen ‘pilih bulu’ antara kluster VVIP, kayangan dan marhaen supaya kepercayaan rakyat terhadap sistem kerajaan kembali pulih selain mampu meningkatkan penglibatan langsung rakyat secara keseluruhannya dalam memastikan PKP 3.0 ini adalah PKP terakhir yang perlu dilaksanakan sesuai dengan titah DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 2 Mei yang lalu.
Bagi memastikan objektif perlaksanaan PKP 3.0 ini tercapai, rakyat juga diminta untuk bersama memainkan peranan dengan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan tanpa gagal.
Semoga raya tahun hadapan akan dapat kita raikan dengan penuh meriah sepertimana sebelum COVID-19 melanda dunia.

* Mohd Soffian Osman, Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn. Bhd.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#Kolumnis AWANI #Mohd Soffian Osman #Safety Management Academy
;