'Tak hilang bisa Sanusi jika jaga adab' - Khairy Jamaluddin

Astro Awani
Julai 15, 2023 23:49 MYT
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan hilang watak 'bravado' dan 'bisa' jika menjaga adab dan percakapan, kata Khairy Jamaluddin.
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan hilang watak 'bravado' dan 'bisa' jika menjaga adab dan percakapan, kata Khairy Jamaluddin.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, walaupun Muhammad Sanusi mempunyai karakter berani, tetapi adab dan pertuturan mesti dijaga.
Beliau mengulas berkenaan ucapan Muhammad Sanusi yang didakwa memperlekeh pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Saya akan cakap secara peribadi kepada Sanusi tetapi saya nak cakap juga dalam episod Keluar Sekejap (hari ini).
"Kalau Sanusi jaga adab dia sedikit, tidak hilang bisa dia. Saya tahu dia ada sedikit karakter 'bravado' dan sebagainya... tetapi kalau jaga adab saya rasa ia tidak akan menghilangkan watak bersemangat yang dia suka termasuk jadi diri sendiri yang orang minat kepada dia," katanya.
Sementara itu, Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan melihat, Muhammad Sanusi cuai dan tidak berhati-hati ketika membuat ucapan.
Ujarnya, Menteri Besar Kedah itu yang mahu menghentam Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak sedar ada rujukan kepada institusi raja.
"Saya melihat ia adalah kecuaian yang datang dari manusia dan kenyataan itu sudah tentu akan melukakan hati rakyat negeri Selangor dan institusi raja dan sebagainya.
"Cuma bila saya tengok balik kenyataan itu ia lebih kepada kecuaian (ketika berucap)," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah anjuran PN didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.
Menerusi video tular tersebut, Muhammad Sanusi turut didakwa meremehkan pelantikan Amirudin.
#sanusi #Sanusi jaga adab #Selangor #hina Sultan Selangor
;