Tak dapat duit beli dadah, buruh binaan mengamuk, ugut isteri
Sinar Harian
April 9, 2024 18:15 MYT
April 9, 2024 18:15 MYT
AMPANG: Seorang lelaki mengamuk selepas gagal mendapatkan wang daripada isterinya untuk membeli dadah di Ampang Saujana, di sini, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian pada jam 1 pagi, lelaki yang juga seorang buruh binaan itu telah mengetuk pintu rumah dan menjerit dengan kuat supaya isterinya membuka pintu.
"Isterinya enggan membuka pintu kerana bimbang akan keselamatan diri serta suaminya mengamuk disebabkan wanita itu tidak memberikan wang untuk membeli dadah.
"Wanita berkenaan telah menghubungi pihak polis untuk mohon bantuan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Azam berkata, semasa menunggu anggota polis tiba di lokasi, anak pasangan itu memaklumkan pernah nampak ada sepucuk objek yang menyerupai pistol (pistol angin) warna hitam yang berada di bawah meja solek.
"Lelaki itu telah ditahan reman tujuh hari sehingga 14 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun keseksaan dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960," katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian