Tak cukup kuorum: Sampai masanya elaun Ahli Parlimen 'ponteng' dipotong - MPMMK
Astro Awani
Oktober 18, 2019 14:39 MYT
Oktober 18, 2019 14:39 MYT
Mana-mana Ahli Parlimen termasuk menteri dan timbalan menteri yang didapati 'ponteng' atau tidak hadir ke sesi persidangan Dewan Rakyat tanpa sebab perlu dikenakan tindakan pemotongan elaun.
Timbalan Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, cadangan pemotongan elaun itu pernah dikemukakan sebelum ini dan sudah sampai masanya ia dilaksanakan.
"Kita berpandangan bahawa, sebagai seorang Ahli Parlimen khususnya menteri dan timbalan menteri yang dilantik, mereka seharusnya hadir sepanjang sidang Dewan Rakyat berlangsung jika tiada sebab kukuh yang membolehkan mereka untuk tidak hadir.
"Jadi, kita berpandapat, sudah sampai masanya penguatkuasaan pemotongan elaun Ahli Parlimen yang sengaja ponteng sidang Dewan Rakyat tanpa alasan yang kukuh dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Isu Dewan Rakyat 'kosong' bukan baharu berlaku sebaliknya pernah ditegur sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Julai tahun lalu yang tidak berpuas hati dengan kehadiran menteri dan timbalan menteri.
Pada Khamis, isu Dewan Rakyat ‘kosong’ seakan-akan tidak dipandang serius terutama oleh wakil rakyat daripada kerajaan apabila pada sidang kali ini terutama pada sesi perbahasan Belanjawan 2020 kehadiran menteri dan timbalannya dipertikai.
Kekosongan itu turut mendapat teguran daripada Ahli Parlimen Pasir Gudang (PH), Hassan Abdul Karim yang bangun mencelah bertanyakan perkara terbabit.
Susulan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya kecewa apabila Dewan Rakyat yang masih bersidang terpaksa dihentikan seketika susulan kuorum kehadiran tidak mencukupi.
Menurut Ismail Sabri, pembangkang mencadangkan Dewan Rakyat dibubarkan bagi mencari ahli Parlimen baharu yang berminat menghadiri persidangan itu.
Dalam pada itu, Haslihelmy berkata, kehadiran Ahli Parlimen khususnya menteri dan timbalan menteri ke sesi Dewan Rakyat adalah penting demi memastikan persidangan itu berjalan dengan lancar.
"Kalau kita lihat Peraturan Mesyuarat 21 (1a), pertanyaan-pertanyaan bolehlah diarahkan kepada menteri berkenaan dengan hal-hal urusan dalam kementerian.
"Dewan Rakyat berbeza dengan Dewan Negara yang mana hanya menteri dan timbalannya sahaja yang boleh menjawab soalan dikemukakan dan tidak boleh diwakilkan," katanya.
Jelasnya, MPMMK turut menyokong cadangan pembubaran Dewan Rakyat susulan kehadiran mengecewakan Ahli Parlimen sepanjang persidangan.
#Dewan Negara
#Dewan Rakyat
#kerajaan
#kuorum
#Mahathir Mohamad
#Melayu
#menteri
#Parlimen
#pembangkang
#Perdana Menteri
#rakyat