Tak boleh tidur? Baca lah buku terbaru saya - Tun M

Haider Yutim
November 1, 2014 18:59 MYT
Tun Dr Mahathir menandatangani salinan buku peminat selepas melancarkan buku tersebut. Foto Astro AWANI
"Jika anda tidak boleh tidur waktu malam, baca lah buku saya. Saya jamin anda akan tertidur selepas membaca perenggan kedua," seloroh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan buku terbarunya, 'The Wit & Wisdom of Dr Mahathir Mohamad'.
Sesuai dengan tajuk buku tersebut, bekas perdana menteri Malaysia yang keempat itu berjaya mencuit hati para hadirin yang datang ke pelancaran bukunya itu dengan jenaka serta kepandaiannya berucap.
"Saya tidak pasti samada buku ini boleh dibaca atau tidak. Dan saya tak pasti samada betul buku ini mengandungi apa-apa 'kebijaksaan', namun orang ramai mungkin merasakan yang saya ada kebijaksanaan," kata Dr Mahathir.
Namun begitu, beliau tetap mengesyorkan orang ramai supaya membeli buku tersebut demi penerbitnya, Editions Didier Millet (EDM) dan juga kerana generasi masakini lebih gemar membaca e-buku berbanding buku sebenar.
Dr Mahathir mengakui bahawa ianya memang menyedihkan melihat banyak kedai-kedai buku, kini sudah ditutup.
Katanya kedai buku lah merupakan tempat pertama beliau akan pergi setiap kali melawat suatu tempat ataupun pusat membeli belah.
"Sekarang, ramai yang tidak lagi membeli buku kerana mereka boleh mengaksesnya secara tidak sah, di mana yang bayar hanya seorang manakala yang lain-lain berkongsi," tambahnya.
Buku 'The Wit & Wisdom of Dr Mahathir Mohamad' merupakan hasil pengumpulan 600 ungkapan dari Dr Mahathir sejak permulaan karier politiknya pada tahun 1970an hingga kata-kata dari blognya, Chedet.
Menurut satu kenyataan oleh Didier Millet, kebanyakan petikan-petikan dipilih dari sumber perpustakaan penyelidikan elektronik Yayasan Kepimpinan Perdana yang mengandungi lebih daripada 320,000 rekod digital ucapan, keratan akhbar, buku serta artikel jurnal dari Dr Mahathir.
Ungkapan di dalam buku ini disusun berdasarkan topik, antaranya kepimpinan, hubungan kaum, media, ekonomi dan pembangunan, penjajahan, hubungan antarabangsa termasuk Israel dan Palestin, dan juga Malaysia.
Sementara itu, pengarah editorial EDM, Martin Cross berkata proses yang paling sukar ialah memilih ungkapan-ungkapan tersebut yang telah diucap dari seawal 40 tahun yang lalu.
Menurutnya, daripada 320,000 ungkapan tersebut, 3,000 yang terbaik telah dipilih yang kemudiannya dipilih sekali lagi menjadi 600 ungkapan.
Cross berkata, proses pemilihan sahaja mengambil kira-kira tujuh bulan yang mana dihantar semula kepada Dr Mahathir untuk diberi kelulusan.
"Nasib baik dia tidak akan menolaknya," kata beliau dengan lega.
Turut hadir dalam majlis pelancaran itu ialah isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, anak perempuannya Datin Paduka Marina Mahathir, Pengerusi Berjaya Corporation Datuk Seri Robin Tan, ketua pegawai operasi Borders Yau Su Peng dan penerbit EDM, Didier Millet.
Acara ini telah diadakan di Starbucks dan Borders di The Curve, Petaling Jaya.
Ini merupakan siri kedua 'Wit & Wisdom' merupakan oleh EDM selepas menerbitkan 'The Wit & Wisdom of Lee Kuan Yew' pada tahun 2013.
#borders #Buku #Mahathir #pelancaran #Tun M #wisdom #wit
;