Tak bijak lawan China - Tun M

Sinar Harian
Ogos 23, 2018 16:03 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan adalah tidak bijak bagi Asean, termasuk Malaysia, untuk mengambil pendirian konfrontasi terhadap China. -Gambar fail
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan adalah tidak bijak bagi Asean, termasuk Malaysia, untuk mengambil pendirian konfrontasi terhadap China.
Memetik wawancara bersama ThaiPBS, Dr Mahathir berkata negara-negara Asean boleh membantah tuntutan China terhadap Laut China Selatan tetapi kuasa besar itu dengan mudah boleh mengabaikannya.
Menurutnya, atas sebab itulah Malaysia mempunyai sikap yang sedikit berbeza dalam hal berkenaan dan menerima bahawa China adalah negara yang kuat serta tidak boleh berperang dengan China.
“Oleh yang demikian, kita perlu mempunyai beberapa cara diplomatik untuk berunding dengan China,” katanya.
Bagaimanapun, Mahathir mengulangi rayuannya kepada China supaya memastikan Laut China Selatan terbuka kepada semua kapal walaupun negara itu menuntut kawasan tersebut.
Ditanya jika keterbukaan ini termasuk untuk kapal perang AS, Mahathir bersetuju, menyatakan bahawa tidak ada perbezaan dalam perkara tersebut.
Walau bagaimanapun, beliau berkata tindakan AS untuk memprovokasi China merupakan pendirian yang tidak disenangi Malaysia.
“China mendakwa laut berkenaan kepunyaan mereka, termasuk pulau-pulaunya, tetapi kenapa kita harus memprovokasi negara itu?
Menurutnya, Malaysia juga mempunyai pulau di sana, namun perkara yang paling penting adalah kebebasan laluan kapal.
“Sekarang terdapat laluan bebas (kapal) tetapi kapal perang Amerika cenderung untuk menimbulkan provokasi terhadap China dengan berlayar berhampiran pulau-pulaunya dan semua itu,” katanya.
Sepanjang wawancara, Mahathir bercakap mengenai pendiriannya menentang segala bentuk keganasan sebagai jalan penyelesaian.
“Perang tidak lagi menjadi penyelesaian konflik kerana ia akan menjadi bencana. Keupayaan senjata moden boleh mengakibatkan berjuta-juta orang boleh mati dalam peperangan.
“Sudah terjadi, dalam perang dunia kedua, tujuh juta orang mati. Seluruh negara boleh dimusnahkan,” katanya.
Trump mungkin tak dapat bertahan penggal ke-2
Dalam temu bual itu juga, Mahathir turut menyatakan keyakinannya bahawa presiden AS Donald Trump mungkin tidak bertahan sehingga penggal kedua.
“Saya fikir beliau mungkin kalah (pilihan raya presiden) bagi penggal kedua di mana kebanyakan polisi beliau akan dibuang sebagaimana beliau membatalkan dasar presiden sebelumnya, Barack Obama,” katanya.
“Saya memberitahu media apabila ditanya mengenai Trump bahawa agak sukar untuk bekerja dengan seseorang yang mengubah fikirannya dalam masa 24 jam sebanyak tiga kali,” katanya.
Dalam hal berasingan, Mahathir berkata beliau melihat pertemuan Trump dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un dari aspek positif menyatakan bahawa terdapat “pekembangan yang baik”.
Mengenai Iran, Mahathir percaya AS silap apabila menamatkan perjanjian nuklearnya dengan negara itu, menyebabkan AS telah menjadi terpencil ketika Kesatuan Eropah ingin meneruskan perjanjian berkenaan.
Bahkan Mahathir turut menyuarakan masalah konflik Palestin-Israel, menyifatkan deklarasi negara Yahudi oleh Israel sebagai menyerupai Apartheid.
“Orang Arab yang tinggal di sana menjadi warga kelas dua, itu sejenis Apartheid,” katanya.
‘Asean mungkin patut campur tangan bencana manusia’
Mengenai Myanmar, Mahathir nampaknya telah mengambil pendiran lebih lembut mengenai sikap tidak campur tangan di kalangan negara-negara Asean, suatu prinsip yang beliau berpegang teguh dengannya semasa pertama kali menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003.
“Prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara-negara anggota merupakan suatu hal yang baik. Walau bagaimanapun, kadang-kadang negara anggota tidak dapat membantu negaranya sendiri.
“Sebagai contoh, di Kemboja, ketika Pol Pot membunuh dua juta orang, kami hanya membiarkannya dan tidak berbuat apa-apa. Ia bencana kemanusiaan,” katanya.
Menurutnya, mengenai isu-isu seumpama itu, Asean tidak seharusnya berpegang teguh dengan keyakinan untuk terus tidak campur tangan, sebaliknya patut mengenakan suatu bentuk tekanan terhadap Myanmar.
“Ini adalah ketidakadilan dan ia memberikan kita reputasi buruk,” kata Mahathir mengulas mengenai pembunuhan etnik Rohingya di Myanmar.
Ditanya pihak yang berhak untuk memutuskan kewajaran campur tangan, Mahathir berkata perkara itu perlu dilakukan dengan perundingan bersama semua negara anggota Asean.
#AS #ASEAN #berunding dengan China #China #konfrontasi #Mahathir Mohamad #provokasi #tidak bijak
;