'Tak bercadang naik harga minyak masak paket' - Salahuddin

Hasimi Muhamad
Jun 8, 2023 10:50 MYT
Peningkatan harga bagi bahan asas itu belum lagi sesuai kerana rakyat masih bergelut dengan tekanan kos sara hidup. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan buat masa ini belum bercadang menaikkan harga minyak masak subsidi paket yang dijual pada harga RM2.50 sekilogram, ketika ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, peningkatan harga bagi bahan asas itu belum lagi sesuai kerana rakyat masih bergelut dengan tekanan kos sara hidup.
"Namun begitu kerajaan telah bersedia sebenarnya, Insya-Allah sehingga tahun depan, satu badan yang mengendalikan pangkalan data iaitu Pangkalan Data Utama (PADU) akan melengkapkan semua data untuk memberikan subsidi kepada golongan tertentu.
"Kita faham kerajaan berbelanja untuk minyak masak paket sahaja dan RON95 sebagai contoh, dan barang-barang subsidi lain. Kita masih mengekalkan subsidi ini demi rakyat.
"Insya-Allah apabila ekonomi telah pulih nanti, sistem kita (telah) wujudkan dan kembalikan ekosistem yang sempurna, dan subsidi itu disasarkan, Insya-Alla pinjamatan dari segi belanjawan dapat dilakukan secara berhemah," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang bertanyakan adakah kerajaan bercadang menaikkan harga minyak tersebut kepada RM3.50 sekilogram sebagai usaha mengurangkan ketirisan.
Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan subsidi minyak masak dengan jumlah sebanyak RM4 bilion bagi menanggung kategori minyak masak kampit satu kilogram, masih kekal.
Program subsidi itu telah bermula sejak Jun 2007 bagi minyak masak kampit berharga RM2.50 satu kilogram berbanding harga pasaran sebenar iaitu RM9.
#Harga minyak masak subsidi #Salahuddin Ayub #kos sara hidup #minyak paket
;