Tak balik Sarawak sambut Krismas, kemas rumah dilanda banjir
Adam Darwish
Disember 25, 2022 21:16 MYT
Disember 25, 2022 21:16 MYT
PASIR PUTEH: "Kami berdua terpaksa membatalkan hasrat untuk pulang ke Sarawak menyambut Krismas disebabkan rumah dilanda banjir," kata Lans Koperal Rachel Berjaya, 32, yang menetap di Taman Puspa Jaya 1 dekat Kampung Jelor, di sini.
Katanya, dia bersama isteri, Josephine Ekau, 32, sepatutnya sudah kembali ke Lubuk Antu, Sarawak pada 18 Disember lalu untuk menyambut perayaan berkenaan bersama keluarga.
"Namun melihat hujan lebat beberapa hari mulai 19 Disember lalu, hati saya rungsing kerana bimbang banjir berlaku.
"Tekaan saya tepat apabila hujan lebat berterusan menyebabkan air mulai naik di sekitar rumah, apatah lagi keadaan longkang di kawasan perumahan di sini agak kecil dan tersumbat.
"Hanya beberapa jam selepas itu air mulai masuk ke dalam rumah dan menyebabkan banyak barangan di dalam rumah termasuk perabot, karpet dan tilam ditenggelami air," katanya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini.
Katanya keadaan air yang mulai naik sehingga ke paras pinggang menyebabkan dia dan isteri kemudiannya berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Jelor yang berdekatan rumahnya selama empat hari.
"Sebenarnya ini kali pertama rumah kami dinaiki air banjir sejak menyewa di sini kira-kira dua tahun lalu.
"Apapun saya dan isteri menganggap ini adalah ujian kecil bagi kami berbanding orang lain yang mungkin kehilangan banyak harta benda disebabkan banjir yang agak besar kali ini," katanya yang berketurunan Iban.
Katanya, walaupun rumah sendiri dinaiki air, dia tetap bertugas membantu mangsa banjir di kawasan berkenaan.