Tak adil jika hapus hukuman mati - Keluarga mangsa
Sinar Harian
November 10, 2018 08:00 MYT
November 10, 2018 08:00 MYT
Keluarga Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, Datuk Anthony Kevin Morais dan Wong Jing Kui membantah sekeras-kerasnya cadangan memansuhkan hukuman mati ke atas pembunuh.
Menurut mereka, ia tidak adil kerana keluarga mangsa bunuh terpaksa meneruskan hidup tanpa insan tersayang, malah dibelenggu tekanan emosi melampau.
Erni Dekritawati Yuliana Buhari, anak kepada Sosilawati, berkata beliau faham kerajaan mungkin memikirkan kemanusiaan, namun soalnya, adakah pembunuh memikirkan perkara sama ketika melakukan jenayah.
“Kes ibu saya memakan masa selama lapan tahun. Satu masa yang sangat lama untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah yang terbabit.
“Mahkamah memutuskan hukuman mati kepada mereka, dan apabila dapat tahu itu keputusannya, saya fikir ini adalah balasan kepada mereka.
“Saya rasa orang lain pun hendak perkara sama. Bila jatuh hukuman mati, kami sekeluarga sangat gembira dengan keputusan mahkamah,” katanya pada satu sidang media khas, di sini, pada Jumaat.
Beliau yang juga dikenali sebagai Rita Sosilawati merasakan adalah tidak wajar kerajaan memansuhkan hukuman tersebut.
“Pada masa ibu kami meninggal dunia, kami seperti tiada hala tuju. Jadi, siapa yang kasihankan kepada kami pada waktu itu?
“Dengan hukuman itulah yang menguatkan semangat kami untuk teruskan hidup. Saya mewakili keluarga saya menganggap pemansuhan hukuman itu tidak wajar dilakukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, adik kepada Kevin, Datuk Richard Morais, merasakan jenayah terhadap abangnya merupakan ‘jenayah dahsyat di luar pemikiran manusia’.
“Dia nak pergi kerja, kemudian diculik, dibunuh dan mayat disimenkan. Saya seorang sahaja yang tengok mayat dia. Saya fikir ini jenayah yang sangat bahaya.
“Seluruh badan abang saya disimen. Saya tak dapat sentuh badan abang saya sebab penuh batu. Adakah anda mahu lepaskan orang yang buat perkara itu?
“Adakah ini adil? Setiap pagi saya bangun, saya tertekan. Anda kena berada di tempat kami, barulah anda faham bagaimana kami rasa,” katanya.
Sementara itu, kakak kepada Jing Kui, Wong Hie Huong, mengakui masih lagi terasa kehilangan adiknya.
Dia juga mahukan kerajaan terus mengekalkan hukuman mati bagi membela nasib keluarga mangsa.
#Anthony Kevin Morais
#bunuh
#hapus
#hukuman mati
#jenayah
#keluarga
#kerajaan
#mahkamah
#mangsa
#mansuh
#mati
#mayat
#Sosilawati Lawiya
#tekanan emosi
#tidak adil