"Tak ada kahwin... jangan kacau saya" - Tengku Hassanal
Hasimi Muhamad
Julai 12, 2024 12:10 MYT
Julai 12, 2024 12:10 MYT
KUALA LUMPUR: Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta rakyat menghormati keputusan peribadi dan privasi berhubung perkahwinan baginda.
Dalam hantaran di Instagram Story, Tengku Mahkota Pahang itu turut memaklumkan, tiada majlis perkahwinan, sekali gus menafikan khabar angin baginda akan mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
"Takde (tak ada) kahwin.... jangan kacau saya," tulis Putera Raja berusia 29 tahun itu.
Menerusi hantaran sama, Tengku Hassanal bertitah, baginda amat menghargai keprihatinan dan minat yang ditunjukkan oleh masyarakat umum mengenai kehidupan peribadinya.
Titah Tengku Hassanal, baginda percaya bahawa pilihan hidup yang disifatkan sebagai penting harus dibuat dengan teliti dan pada masa yang sesuai dengannya.
"Buat masa ini, saya komited untuk berkhidmat kepada Raja dan Negara, dan akan menjalankan tugas dan tanggungjawab saya dengan penuh dedikasi.
"Sokongan anda amat kami hargai," tulis Tengku Hassanal.
Tengku Hassanal yang diputerakan pada 17 September 1995 merupakan putera sulung kepada Al-Sultan Abdullah dengan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.