Tajuddin bidas Najib isu KWSP, dedah wujud 'Little Napoleon' dalam kalangan Kabinet

Harits Asyraf Hasnan
Mac 2, 2022 18:29 MYT
Tajuddin mendedahkan ada individu bersifat Napeopleon Kecil itu dalam kalangan mereka yang bergelar menteri. - Foto Fail/JAPEN
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini membidas Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) berhubung isu pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Tegasnya, Najib sepatutnya menghormati keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kabinet berhubung pengeluaran wang pencarum.
"Perdana Menteri dan Kabinet telah membuat keputusan, maka hormatilah. YB Pekan perlu hormati keputusan Perdana Menteri, Kabinet dan kerajaaan yang tidak dapat untuk mempersetujukan (pengeluaran).
"(Keputusan itu) bukan kerana kepentingan peribadi atau kepentingan orang-orang tertentu.
"Mereka (Kabinet) juga memikirkan kepentingan masa depan rakyat kerana sekiranya semua wang habis dikeluarkan, apa akan jadi akan datang apabila berlaku kesusahan, penderitaan dan kesengsaraan.
"Betul, itu duit mereka tetapi kita sebagai pemimpin kerajaan perlu menasihati, mendidik dan menjaga orang ramai," katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perbahasan itu, Tajuddin turut mendakwa wujud ‘Napoleon Kecil’ atau 'Little Napoleon' dalam pentadbiran kerajaan hari ini.
Malah, beliau mendedahkan ada individu bersifat 'Napeopleon Kecil' itu dalam kalangan mereka yang bergelar menteri.
"Menteri-menteri mesti komited dan jangan fikir apabila jadi parti berlainan, maka tak sokong agenda Perdana Menteri. Ini tidak boleh.
"Dalam parti sendiri, sesama parti, jangan cuba untuk bermain politik. Saya nak ingatkan di sini.
"Apa yang berlaku kita dapati adanya Little Napoleon dalam kerajaan, individu yang lebih berkuasa daripada menteri atau Kabinet.
"Perdana Menteri bagi arahan sesuatu, ia tak dilaksanakan, tak dibuat dan 'diperap' begitu sahaja sebab tak suka perkara itu dibuat.
"Little Napoleon ini kita ada bukti, kalau sekiranya diminta saya akan keluarkan, buktikan Little Napoleon di mana ada antara mereka adalah menteri," katanya.
#Tajuddin Abdul Rahman #KWSP #Najib Razak #Little Napoleon
;