Tajuddin Abdul Rahman positif COVID-19
Firdaus Azil
Januari 20, 2021 09:27 MYT
Januari 20, 2021 09:27 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz disahkan positif COVID-19 semalam, hari ini Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pula turut menerima nasib yang sama.
Kedua-dua mereka duduk bersebelahan dalam satu sidang media pada 12 Januari lepas.
Dalam satu catatan hari ini, pengelola Facebook rasmi Tajuddin berkata Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd itu disahkan positif hari ini, selepas melakukan ujian saringan pada 19 Januari lepas.
“Pada mereka yang mempunyai kontak rapat dgn beliau eloklah melakukan ujian saringan COVID-19.
“Datuk Seri Haji Tajuddin memohon maaf di atas sebarang kesulitan dan berterima kasih kpd semua pihak yang mendoakan beliau,” menurut catatan itu lagi.
Dalam pada itu, anak kepada Tajuddin memberitahu Astro AWANI, bapanya kini masih berada di rumahnya di Bukit Damansara.
Tambahnya, Tajuddin tidak menunjukkan sebarang simptom namun selepas Mohamed Nazri disahkan poositif, beliau menjalani saringan semalam (Selasa) dan kemudian turut disahkan positif.
Selain Mohamed Nazri, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique juga disahkan positif COVID-19 semalam.
#Tajuddin Abdul Rahman
#positif COVID-19
#Nazri Aziz
#duduk bersebelahan
#Sidang media
#Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd
#ujian saringan