Tajol Rosli umum keputusan muktamad undian Naib Presiden

Bernama
Oktober 20, 2013 07:00 MYT
Keputusan rasmi muktamad pemilihan Naib Presiden UMNO semalam menyaksikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meraih 188 undi, diikuti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dengan 177 undi.
Ketika mengumumkan perkara itu, di sini hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Tan Sri Tajol Rosli Ghazali berkata slot ketiga kerusi itu diisi Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan 101 undi.
Ini bermakna Zahid dan Shafie, masing-masing, memperoleh pertambahan tiga undi manakala Hishammuddin meningkat satu undi, berbanding keputusan awal yang diumumkan 1.40 pagi tadi oleh Tajol Rosli.
Seorang lagi pencabar bagi jawatan itu Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir menyaksikan bilangan undinya meningkat kepada 93, berbanding 91 sebelum ini.
Dua calon lagi kekal dengan masing-masing tujuh undi iaitu Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Dari segi jumlah undi perwakilan atau lebih dikenali sebagai undi popular di bawah sistem 'electoral college' yang diguna pakai dalam pemilihan UMNO kali ini, Zahid mendapat 94,562 undi, Shafie (82,252), Hishammuddin (56,604), Mukhriz (57,189), Mohd Ali (15,294) dan Mohd Isa (12,783).
Sebanyak 146,500 perwakilan dari 191 bahagian UMNO mengundi mengikut sistem 'electoral college' bagi memilih kepimpinan parti di peringkat bahagian dan pusat.
Dalam pertandingan kerusi naib presiden, setiap seorang daripada tiga calon yang memperoleh bilangan undi paling banyak daripada perwakilan bahagian, masing-masing dikira meraih satu undi dari bahagian berkenaan.
Bagaimanapun, setiap undi yang diterima setiap calon sama ada menang atau kalah, akan dijumlahkan sebagai undi perwakilan secara individu.
Ini merupakan kali pertama sistem itu digunakan dalam pemilihan parti tonggak kerajaan susulan pindaan perlembagaan UMNO yang dibuat pada 2009 ke arah memberi suara lebih besar kepada anggota parti akar umbi untuk memilih pemimpin mereka.
Sebelum ini, hanya sekitar 2,500 perwakilan diberi hak untuk memilih kepimpinan UMNO di peringkat pusat.
Ia juga ke arah meningkatkan ketelusan parti selain membanteras gejala negatif seperti politik wang.
#majlis tertinggi #Naib Presiden #pemilihan #Pemilihan UMNO #UMNO
;