Taiping akan dijadikan bandar bersejarah - Nazri Aziz
Bernama
Julai 7, 2013 09:00 MYT
Julai 7, 2013 09:00 MYT
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bercadang menjadikan Taiping yang kaya dengan pelbagai produk pelancongan sebagai bandar bersejarah.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pihaknya akan berunding dengan kerajaan negeri berhubung perkara itu bagi memastikan khazanah pelancongan di Taiping, yang kini dikenali sebagai bandar warisan, terpelihara.
"Banyak bangunan dan tempat bersejarah di Taiping seperti stesen kereta api, Bukit Maxwell dan Kuala Sepetang. Saya bimbang sekiranya (bangunan bersejarah) diruntuh dan dibangunkan dengan pembangunan lain, maka akan hilang khazanah pelancongan di Taiping," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Muzium Taiping di sini hari ini sempena program Muzium Bersama Komuniti.
Mohamed Nazri mengadakan lawatan di Perak selama dua hari dan ia merupakan lawatan pertamanya ke negeri ini selepas dilantik sebagai Menteri Pelancongan.
Beliau berkata produk pelancongan di daerah ini termasuk Muzium Taiping akan dinaik taraf sebagai ikon pelancongan bandar Taiping.
"Saya kagum dengan artifak-artifak yang terdapat di dalam muzium ini. Sememangnya anak-anak sekolah mesti dibawa ke sini untuk melihat perkara yang sebenarnya wujud di negeri ini seperti permainan tradisional, makanan tradisi di Perak dan sebagainya," katanya.
Sehubungan itu, bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara berkunjung ke muzium, beliau berkata penambahbaikan perlu dilakukan di tempat penyimpanan barang-barang bersejarah itu.
"Kementerian akan mengkaji semula bentuk penambahbaikan yang perlu dilakukan serta kos yang perlu diperuntukkan," jelasnya.
Program yang diserikan dengan persembahan kebudayaan seperti wayang kulit, dikir barat dan pancaragam sekolah turut menempatkan 47 gerai pameran melibatkan produk pelancongan, kesihatan dan kraftangan.