Taib sedia saman Global Witness

Ashwad Ismail
April 3, 2013 02:20 MYT
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sedia untuk menyaman Global Witness susulan penyebaran video yang didakwa mengaitkan beliau dengan penyelewengan tanah di negeri itu.
Abdul Taib menegaskan tindakan saman-menyaman bukan pilihan utama beliau tetapi ia perlu dilakukan untuk menegakkan kebenaran.
“Saya (akan) saman kerana mementingkan soal menegakkan kebenaran. Bukan mahu cari pasal. Mengenai kebenaran, orang Sarawak kenal saya. Saya bukan baru jadi Ketua Menteri,” kata beliau dalam satu pertemuan dengan wartawan di bangunan Dewan Undangan Negeri di sini, pada Selasa.
Abdul Taib tidak menyatakan bilakah saman itu akan difailkan namun beliau bertegas tidak akan berkompromi dengan Global Witness sekiranya menang kes itu nanti.
“Mereka (Global Witness) mahu saya saman... dahulu saya pernah sekali menyaman (portal berita) Malaysiakini dan beberapa pihak lain. Bila saya sudah menang, mereka minta tolong jangan minta wang ‘damages’ banyak sangat.
“Waktu itu saya cakap, jangan risau, percuma sahaja. Permohonan maaf sahaja sudah cukup. Tapi kali ini kalau saya menang, tiada lagi ‘free’,” ujar Taib.
Global Witness baru-baru ini mendedahkan rakaman sulit video yang menunjukkan perbincangan antara penyiasatnya yang menyamar sebagai bakal pelabur asing dengan dua sepupu Abdul Taib, Fatimah and Norlia Abdul Rahman berhubung pembelian tanah di Sarawak.
Rakaman itu juga menunjukkan perbincangan dengan dua peguam mengenai urusan jual beli tanah berkenaan termasuk kaedah untuk mengelak urus niaga itu dikesan.
Taib sebelum ini menafikan bahawa dua sepupunya itu adalah orang tengah beliau dan mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dengan dakwaan seperti itu kerana sesiapa saja boleh mengaku sebagai agennya.
Dalam pada itu, Abdul Taib turut menjawab tuduhan Global Witness yang mengatakan kawasan hutan di Sarawak hanya tinggal 5 peratus sahaja yang tidak terjejas dengan aktiviti pembalakan.
Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas kerana bukti dan fakta jelas menunjukkan keluasan hutan melebihi 60 peratus muka bumi negeri itu.
“Pergi tengok imej (satelit) Google kalau mahu lebih jelas lagi,” tegas Abdul Taib.
Beliau juga mengulangi kenyataannya bahawa pendedahan Global Witness bermotifkan politik terutama ketika menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
#global witness #Sarawak #Taib Mahmud