Taib Mahmud kini dirawat di Kuala Lumpur - KPN
Astro Awani
Februari 10, 2024 23:01 MYT
Februari 10, 2024 23:01 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, disahkan sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Pengesahan itu dibuat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menerusi satu kenyataan pada Sabtu malam.
Razarudin memaklumkan laporan polis yang tersebar di media sosial sejak Ahad lalu adalah sahih dan polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, jelas beliau, siasatan bukanlah membabitkan insiden bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu dilarikan, sebaliknya lebih kepada perbuatan yang mungkin boleh membahayakan kesihatan Abdul Taib.
"Tıada istilah dilarikan kerana yang membawa keluar dan balik ke rumah adalah isteri bekas Yang di-Pertua Negeri itu.
"Kertas siasatan sudah dihantar ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sarawak pada 9 Februari 2024 dan masih menunggu arahan lanjut," katanya.
Sehubungan itu, Razarudin menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar sehingga boleh menimbulkan pelbagai spekulasi.
Menurut sumber, Abdul Taib, 87 tahun, kini menjalani rawatan di rumah peribadinya di Jalan Duta, dengan pemantauan rapi pakar perubatan.
Difahamkan, Abdul Taib telah terbang ke Kuala Lumpur menggunakan pesawat khas sekitar jam 4.00 petang Jumaat.
Kakitangan kerajaan Sarawak yang bertugas di Rumah Sarawak juga telah dimaklumkan dengan perkembangan ini.
Abdul Taib sebelum ini pernah berhadapan dengan beberapa kompilasi perubatan dan mendapat rawatan di Kuching dan Istanbul.
Media sebelum ini melaporkan, bekas Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun itu menerima rawatan di kediamannya di Demak Jaya selepas dibawa keluar dari Pusat Perubatan Normah pada tengah malam kira-kira seminggu yang lalu.
Susulan itu, seorang doktor pusat perubatan terbabit membuat laporan polis kerana mendakwa Abdul Taib yang sedang menerima rawatan dibawa balik ke rumahnya secara paksa.
Selepas laporan berkenaan, adik bekas Yang di-Pertua Sarawak itu, Datuk Mohamad Tufail Mahmud turut membuat satu lagi laporan polis.