Taib Mahmud kenang detik 'lamar' mendiang Masing, gembira dapat berkhidmat bersama

Astro Awani
November 1, 2021 13:25 MYT
Tun Taib dan dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib tiba di kediaman mendiang Tan Sri James Jemut Masing tepat jam 12 tengah hari bagi memberi penghormatan terakhir. - Foto Astro AWANI
KUCHING: ‘(Mendiang) Masing seorang yang jujur dan saya gembira kerana berpeluang bekerja dengannya sebagai salah seorang menteri di bawah pentadbiran saya.’’
Demikian kenangan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, ketika ditemui media sejurus selesai memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Tan Sri James Jemut Masing yang meninggal dunia pada Ahad
Selain itu, Tun Taib juga sempat berkongsi pengalaman saat pertama kali ‘melamar’ mendiang Masing untuk menjadi salah seorang menteri di bawah pentadbirannya selaku Ketua Menteri Sarawak ke-4 yang lalu.
‘’Mendiang seorang yang berbudi bahasa, saya pernah menelefon mendiang ketika dia bekerja di SESCO dan minta dia meletak jawatan supaya dapat menjadi menteri.
‘’Mendiang dengan rendah diri berkata, saya tidak pandai berpolitik.
‘’Saya berkata anda ikhlas, disayangi rakyat, baik dan banyak berkhidmat untuk rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh,’’ katanya.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Mengenang James Jemut Masing: Pemimpin Dayak berkaliber
BACA: Taib Mahmud, Raghad beri penghormatan terakhir kepada Masing
Sementara itu, menerusi satu hantaran di Instagram, Toh Puan Raghad Kurdi pula menyifatkan pemergian mendiang Masing merupakan satu kehilangan besar buat komuniti Dayak dan negeri Sarawak.
''Mendiang merupakan contoh terbaik pemimpin yang bekerja keras dan mencuba sedaya upaya untuk memberi khidmat bakti yang cemerlang kepada komunitinya.
''Jasa dan sumbangannya kepada masyakat dan negeri Sarawak pasti akan dikenang sampai bila-bila,'' tambahnya.
Belasungkawa | Mendiang seorang yang ikhlas & disegani - TYT Sarawak
Terdahulu, Tun Taib dan dan isteri, Toh Puan Raghad Taib tiba di kediaman mendiang Tan Sri James Jemut Masing bagi memberikan penghormatan terakhir.
Kedua-dua yang berpakaian hitam dan putih tiba pada jam 12 tengah hari di Jalan Ong Tian Swee di sini, pada Isnin.
BACA: James Jemut Masing meninggal dunia
Masing, 72, meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah, Petra Jaya, pada jam 7.05 pagi Ahad.
Mendiang yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 28 September lalu akibat komplikasi selepas disahkan positif COVID-19.
Selepas kesihatannya semakin merosot, mendiang dipindahkan ke Pusat Perubatan Pakar Normah, minggu lalu.
#Mengenang James Jemut Masing #belasungkawa #tun taib mahmud #Timbalan Ketua Menteri Sarawak
;