Tahun penuh kejutan, ini rentetan peristiwa menarik sepanjang 2022!
Faida Rahim
Disember 31, 2022 11:30 MYT
Disember 31, 2022 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Untuk sampai ke penghujung 2022, kejutan demi kejutan 'disajikan' yang menyaksikan banyak peristiwa menarik berlaku.
Astro AWANI himpunkan beberapa momen bersejarah dan kisah yang menarik perhatian rakyat Malaysia sepanjang tahun ini!
JANUARI
1) Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 7 Januari bagi menjalani prosedur perubatan elektif dan dibenarkan keluar pada 13 Januari. Puluhan petugas media berkumpul di IJN untuk mendapatkan maklumat mengenai keadaan semasa beliau.
2) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menawarkan gaji sebanyak RM1 juta setahun kepada pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam usaha memujuknya untuk tidak meninggalkan badan induk itu. Ini berikutan tawaran balas ketika sesi rundingan bersama pemain berusia 23 tahun itu selepas Zii Jia menghantar surat peletakan jawatannya pada 11 Januari untuk bergerak secara profesional.
FEBRUARI
3) Genap 50 tahun Kuala Lumpur diisytihar sebagai bandar raya pertama di Malaysia sejak 1 Februari 1972. Kuala Lumpur kini menuju ke arah menjadi lebih mampan, lestari, berdaya tahan dan sejahtera seperti diispirasikan lebih dua juta warganya.
MAC
4) Bekas penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja pada 24 Mac lalu. Dia kemudian terlepas hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis seberat 214 gram pada Julai lalu.
APRIL
5) Malaysia mengisytiharkan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dari fasa pandemik Covid-19 bermula 1 April. Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan had waktu operasi bagi premis perniagaan turut dimansuhkan dan pemilik premis dibenar menjalankan waktu perniagaan mengikut syarat lesen masing-masing. Kuala Lumpur juga berdepan dengan kesesakan trafik luar biasa sejak tarikh itu memandangkan lebih ramai boleh kembali ke tempat kerja seperti sebelum pandemik.
6) Pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara Asia (ACL) setelah menewaskan bekas juara ACL, Ulsan Hyundai 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim pada April lalu.
MEI
7) Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar BERSATU dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). Bekas Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau memutuskan menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan. Namun beliau antara 11 individu yang digugur dan dipecat daripada parti berkenaan sejak empat hari lalu.
JUN
8) Pemain nombor lima dunia, Lee Zii Jia mengesahkan menarik diri daripada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022. Kata Zii Jia, dia perlu memilih antara Sukan Komanwel dengan Kejohanan Dunia dan putuskan memberi fokus yang lebih kepada Kejohanan Dunia.
JULAI
9) Rakyat Malaysia, Kalwant Singh dikenakan hukuman gantung menjalani hukumannya pada 7 Julai di Penjara Changi Singapura. Peguamnya mengesahkan, mayat mendiang Kalwant Singh dibawa pulang ke Cameron Highlands lewat petang pada hari yang sama.
OGOS
10) Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya kerana menyeleweng dana SRC International Sdn. Bhd, 23 Ogos lalu. Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tengku Mat.
SEPTEMBER
11) Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap menggunakan bahasa Melayu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) Ke-77 yang berlangsung di ibu pejabat PBB, New York dari 22 hingga 25 September. Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, ia adalah inisiatif Perdana Menteri untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa terutama di platform PBB.
OKTOBER
12) Akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah, seorang remaja lelaki maut dipercayai tertusuk pisau dibaling kakaknya di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh pada 19 Oktober.
NOVEMBER
13) Penantian selama 24 tahun berakhir apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai PM ke-10 di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada 24 November lalu. Rakyat Malaysia kemudian menunggu selama lapan hari sebelum Anwar mengumumkan senarai Kabinet Kerajaan Perpaduan pada 2 Disember. Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
DISEMBER
11) Tragedi tanah runtuh Batang Kali pada 16 Disember lalu menyaksikan seramai 31 mangsa disahkan terkorban di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm yang menyaksikan 61 terselamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang terlibat.