Tahun Naga beri 'ong' buat peniaga
Bernama
Februari 7, 2024 04:40 MYT
Februari 7, 2024 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: Tahun naga dalam kalendar zodiak Cina yang dipercayai membawa simbol kekuatan, kehormatan, kejayaan dan keberuntungan ternyata memberi tuah kepada golongan peniaga barang kelengkapan dan makanan untuk perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut hujung minggu ini.
Samantha Liew, 45, yang mengusahakan perniagaan barangan perhiasan rumah berkata dia tidak menyangka bakul yang dihasilkan dengan mengambil inspirasi daripada haiwan mitos itu, laris dijual dalam tempoh tidak sampai tiga minggu.
Menganggapnya sebagai rezeki tidak disangka, Liew berkata bakul yang dianyam dengan kertas merah mendapat sambutan bukan sahaja daripada pembeli berbangsa Cina, tetapi kaum lain turut merebut peluang mendapatkan bakul edisi terhad bersempena dengan perayaan itu.
"Tahun ini zodiak naga, jadi ramai pembeli yang pilih produk berkaitan dengan naga sebagai hiasan, tidak sangka pula bakul naga yang saya reka khas bersempena dengan Tahun Baharu Cina ini begitu laris. Sejak mula dijual pada pertengahan Januari lepas, lebih 500 bakul naga habis dijual," katanya ketika ditemui Bernama di Pasar Seni di sini baru-baru ini.
Selain berwarna merah, perhiasan itu turut menggabungkan logam berwarna emas pada bahagian kepala dan ekor naga pada bakul berkenaan.
Gembira dengan sambutan yang diterima, Liew berkata pelanggannya turut berkongsi hasil dekorasi menggunakan bakul naga itu menerusi aplikasi WhatsApp, sekali gus menjadikannya lebih bersemangat menghasilkan lebih banyak produk yang unik pada masa akan datang.
Sementara itu, peniaga biskut raya Cili Wong, 38, berkata jualan tahun ini amat memberangsangkan apabila dia menerima banyak tempahan pelbagai jenis biskut, spring roll dan peanut puff sejak Disember tahun lepas.
Wong yang meneruskan perniagaan keluarga yang beroperasi sejak 50 tahun lepas di Jalan Petaling di sini turut mengeluarkan kuih edisi terhad bersempena dengan Tahun Baharu Cina iaitu tart berperisa matcha (teh hijau) dan buah pic.
"Memandangkan sambutan kali ini jatuh pada Februari, maka pelanggan mempunyai masa yang lebih panjang untuk membuat persiapan berbanding sambutan tahun lepas yang jatuh pada Januari. Mungkin sebab itu, tempahan yang diterima sangat luar biasa," katanya.
Turut menerima tempahan dari luar negara termasuk Singapura, Indonesia dan China, Wong berkata tart nanas atau OngLai merupakan biskut paling laris dijual dan mendapat sambutan pelanggan sehingga minggu terakhir sebelum Tahun Baharu Cina.
Tinjauan Bernama di premis lain di sekitar Jalan Petaling dan Pasar Seni juga mendapati ramai masyarakat Tionghua sibuk membeli barangan sebagai persediaan menyambut perayaan itu antaranya tanglung, pakaian dan perhiasan rumah bertemakan naga untuk mendapatkan ong atau nasib yang baik, berdasarkan kepercayaan mereka.
Justeru, pereka grafik di sebuah syarikat swasta, Low Si Ling, 25, tidak melepaskan peluang membuat persiapan tahun baharu kali ini dengan bertemakan zodiak berkenaan.
Selain dinding rumah yang digantung dengan lukisan naga, botol-botol hiasan berbentuk naga turut dijadikan dekorasi di ruang tamunya untuk membangkitkan semangat unsur itu di dalam rumah.
"Naga dianggap sebagai haiwan yang mewah dan gagah. Dalam pepatah Cina pun banyak berkaitan dengan naga yang membawa makna positif. Oleh itu, ia dianggap sebagai haiwan yang membawa ong," katanya.
-- BERNAMA