Tahun Monyet diharap kembalikan semula sokongan Cina kepada kerajaan - Zahid
Harits Asyraf Hasnan
Februari 8, 2016 20:33 MYT
Februari 8, 2016 20:33 MYT
Tahun Baru Cina kali ini diharap dapat mengembalikan semula sokongan orang Cina terhadap kerajaan.
Itu harapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga mahu semua isu politik dan ekonomi yang menyelubungi negara ini dapat diselesaikan segera.
"Saya berharap pada tahun monyet ini negara menjadi lebih makmur, isu-isu politik dan ekonomi diselesaikan.
"Dalam masa yang sama, saya berharap masyarakat Cina akan kembali semula untuk bersama-sama dengan kerajaan," katanya kepada media selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA di sini hari ini.
Walaupun tidak menyatakan secara khusus peristiwa berkaitan kenyataan tersebut, namun ia dipercayai merujuk kepada 'tsunami Cina', apabila masyarakat Cina di negara ini didakwa telah mengundi menentang kerajaan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.
Hadir pada majlis sama adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Ketibaan Najib, Rosmah dan Ahmad Zahid, dengan berpakaian warna merah di perkarangan Wisma MCA, disambut barisan kepimpinan tertinggi MCA diketuai presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai, sambil diiringi persembahan tarian singa.
Najib, Rosmah dan Ahmad Zahid yang meluangkan masa lebih sejam di majlis itu, bersama-sama beberapa pemimpin tertinggi komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Liow, presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam turut menggaul 'yee sang,' hidangan utama musim perayaan yang dianggap juadah membawa tuah dalam kalangan masyarakat Cina.
Turut hadir memeriahkan majlis sambutan termasuk Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.
Tetamu pelbagai bangsa serta pelancong asing turut hadir memeriahkan rumah terbuka itu yang menghidangkan pelbagai juadah dan persembahan kebudayaan, nyanyian serta seni mempertahankan diri.
Najib ketika ditemui pemberita memberi ucapan ringkas Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Cina.
Tahun Baharu Cina tahun ini dalam zodiak Cina ialah Tahun Monyet Api, ia merupakan perayaan terpenting masyarakat Cina bagi menyambut ketibaan tahun baharu dalam kalendar Lunar.
#PRU13
#sokongan orang cina kepada kerajaan
#tahun monyet
#tsunami Cina
#Zahid Hamidi tahun baru cina