Tahun Melawat Perak: Balai Gambang tersadai, peluang nikmati pelayaran terbantut

Aida Aziz
Februari 18, 2024 09:15 MYT
Menurut Nor Hisham, Balai Gambang Cempaka Sari ini dibina khas bagi kegunaan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto ihsan Nor Hisham Zulkiflee
KUALA KANGSAR: Ramai yang tertanya-tanya, tidak kurang juga meluahkan rasa kecewa, kerana tidak dapat belayar di Sungai Perak dengan menaiki Balai Gambang Cempaka Sari, di sini.
Lebih-lebih lagi ketika rancak diuar-uarkan tentang Tahun Melawat Perak 2024, semestinya ramai mata tertumpu di negeri ini bagi mencari lokasi beriadah bersama keluarga.
Difahamkan, Balai Gambang ini sudah lama tidak beroperasi. Jika dilihat di laman Facebook Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Kangsar pula, hujung tahun lalu mereka ada melawat ke sini untuk menilai tahap kerosakan.
Bagi mereka yang tidak tahu tentang sejarah Balai Gambang, ia sememangnya signifikan digunakan sebagai kenderaan air di Sungai Perak bagi tujuan pertabalan Sultan Perak.
Mengikut tradisi di negeri ini, setiap Sultan ada Balai Gambang tersendiri ketika pertabalan.
Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, Balai Gambang Cempaka Sari itu dibina khas bagi kegunaan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
"Semasa pertabalan, ia digunakan bagi menziarah makam-makam Sultan terdahulu. Dari Pasir Salak sehingga Beting Beras Basah.
"Kerja pembinaannya dilakukan oleh JKR Perak dan UniKL Lumut pada 2015.
"Selepas pertabalan, Sultan Perak telah menyerahkan Balai Gambang kepada kerajaan negeri bagi aktiviti pelancongan di negeri ini sekitar 2017," katanya ketika dihubungi.
Katanya lagi, pemberian itu juga merupakan hadiah kepada rakyat, memandangkan ia dibina selepas 30 tahun pertabalan yang terdahulu.
Bagaimanapun, Nor Hisham berkata, difahamkan Balai Gambang yang diurus selia oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu kini tidak lagi beroperasi.
"Sebelum ini pihak JKR ada tinjau dan periksa kerosakan di situ, tetapi sampai sekarang tiada sebarang kerja pembaikan.
"Tahun ini Tahun Melawat Perak dan tidak sedap dipandang jika jadi perkara sedemikian.
"Permintaan pelancong memang mengalakkan lagi-lagi cuti sekolah, sayang jika dibiar begitu sahaja," katanya.
Dalam pada itu, usaha Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dalam memperkenal jejak pelayaran sungai di situ akan terbantut jika Balai Gambang terhenti begitu saja.
"MPKK sudah cuba usahakan buat trail river cruise di sepanjang Sungai Perak di sini sampai ke Jambatan Victoria, mereka sudah letak papan tanda setiap kampung.
"Termasuk lokasi penggambaran yang sinonim di sini, ia sekali gus dapat merancakkan industri pelancongan dan ekonomi setempat," katanya lagi.
#tahun melawat perak #Balai Gambang Cempaka Sari #Kuala Kangsar #sungai perak
;