Tahun Melawat Malaysia 2020: Di mana kita di mata dunia?
Harits Asyraf Hasnan
Mei 26, 2019 12:56 MYT
Mei 26, 2019 12:56 MYT
JIKA dahulu, sebut sahaja Tahun Melawat Malaysia (TMM), pastinya ramai dalam kalangan rakyat Malaysia sibuk menghebahkannya.
Mana tidaknya, iklan, promosi dan pemasaran dengan pelbagai cara dilakukan merentas medium.
Menjelang TMM2020 yang kurang tujuh bulan lagi, jangan kata logo, iklan rasmi daripada Tourism Malaysia juga seperti belum kelihatan di kaca televisyen mahupun dalam talian.
Namun, ada isu lebih besar yang dilihat bukan sahaja menghantui bakal pelancong ke negara ini, malah kalangan penggiat industri turut menerima tempias.
Keberadaan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dilihat semakin berkurangan di negara-negara luar. Tidak mengejutkan apabila bajet pengiklanan dan promosi Tourism Malaysia dipotong.
Memetik laporan The Edge, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata pemotongan bajet tersebut secara langsung menyebabkan pengurangan pelancong ke Malaysia.
“Sejak 10 tahun yang lalu, kami berdepan pemotongan bajet hampir 70 peratus yang menghalang aktiviti pengiklanan dan promosi.
"Kurangnya keberadaan (visibility) telah menjejaskan kedatangan pelancong ke Malaysia,” katanya kepada The Edge.
KURANG LIBAT URUS
Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) turut mengakui bahawa sesi libat urus dan kerjasama antara pihaknya dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), termasuk agensi pemasarannya, Tourism Malaysia amat kurang.
“Kita ada kurang dari tujuh bulan sebelum TMM2020 dan kami tidak tahu berkenaan tema, sasaran pasaran, pelan promosi dan pengiklanan, selain tarikan pelancongan yang menjadi fokus.
“Pada Ogos tahun lalu, MAHO menggesa MOTAC dan Tourism Malaysia untuk segera adakan libat urus dengan pemain industri berkenaan TMM2020 bagi proses jaringan dan tindakan bersama.
"Kami telah ingatkan mereka lagi tahun ini,” kata Pengarah Eksekutif MAHO, Shaharuddin M Saaid seperti yang dipetik The Edge.
LOGO TAK KUNJUNG TIBA
Logo TMM2020 yang direka semula pada Mac lalu selepas dikecam hebat oleh pemimpin dan rakyat masih belum diumumkan secara rasmi.
Dikhabarkan, logo baharu yang sepatutnya diumumkan pada Mei, dipinda majlis pelancarannya pada Jun ini yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 di Muzium Diraja Kuala Lumpur.
Jika dibandingkan, negara jiran kita Thailand mengumumkan logo dan promosi kempen setahun lebih awal kerana para pelancong perlu diingatkan berkali-kali sepanjang masa bagi memudahkan perancangan mereka.
“Pertama, peruntukan secukupnya amat penting. Negara rantau ini makin agresif mempromosi dan mengiklankan destinasi pelancongan mereka dan kita (Malaysia) perlu jenama yang kukuh di pelbagai pasaran untuk bersaing.
"Peningkatan kos media dan pertukaran mata wang asing menjadikan pemasaran di negara luar menjadi mahal,” ujar Musa seperti dilaporkan The Edge.
CUKAI DAN CAJ
Industri pelancongan merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada kemasukan wang asing (foreign exchange receipts) selepas industri pembuatan dan komoditi.
Tahun ini, Malaysia menyasarkan 25.85 juta pelancong menerusi kutipan RM92.2 bilion selepas berjaya mencapai sasaran 2017, iaitu 25.83 juta pelancong dengan kutipan RM84.1 bilion.
Namun, menjadi persoalan sama ada mampukah Malaysia mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 juta pelancongan dengan kutipan RM100 bilion bagi TMM2020?
Ia apabila dijangkakan kos pelancongan akan mendepani para pelancongan selepas beberapa cukai dan caj dikenakan kepada mereka.
Pada September 2017, kerajaan mula mengutip RM10 setiap bilik bagi setiap malam menerusi Cukai Pelancongan daripada pelancong asing, sama ada menginap dihotel mewah mahupun hotel bajet.
Malah, pada Januari tahun lalu, caj perkhidmatan penumpang (PSC) di KLIA2 meningkat kepada RM73 daripada RM50 untuk mereka yang keluar dari negara ASEAN.
Pada Mac tahun ini, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mula melaksanakan caj RM8 bagi bas persiaran dan RM4 bagi van pelancong untuk mengambil dan menurunkan penumpang di KLIA2.
Berdasarkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata levi pelepasan yang diperkenalkan itu adalah untuk menggalakkan pelancongan domestik.
Realiti ini harus diakui, ia bukan sahaja menjadi cabaran kelangsungan perniagaan terbesar buat para penggiat pelancongan, malah ia menjadi bebanan buat para pelancong yang sedang membuat perancangan percutian mereka.
TMM2020? Bukan hanya menjadi cabaran terbesar MOTAC, sebaliknya berharap semoga roh ‘Malaysia Truly Asia’ akan terus meresapi diri si penjelajah Asia.
#cabaran industri pelancongan
#Kementerian Pelancongan Seni Budaya
#Malaysia Truly Asia
#MOTAC
#pelancongan malaysia
#Tahun Melawat Malaysia 2020
#Tourism Malaysia