Tahun Melawat Kenyir 2021 sasar kedatangan satu juta pelancong

Bernama
Januari 1, 2021 16:28 MYT
Antara tarikan Tasik Kenyir ialah kepelbagaian ekosistemnya yang menjadi tumpuan seperti gua batu kapur (Gua Bewah dan Gua Taat), air terjun (Lasir dan Saok) dan Gunung Gagau di Taman Negara. - Gambar fail
KUALA BERANG: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyasarkan kedatangan seramai satu juta pelancong untuk Tahun Melawat Kenyir 2021 yang membuka tirainya hari ini.
Pengerusi Ketengah Datuk Razali Idris berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran itu berikutan promosi besar-besaran yang dijalankan melalui pelbagai platform media ketika ini.
"Pada mulanya, kami sasar hanya 600,000 pelancong untuk Tahun Melawat Kenyir ini, namun melihat sendiri kemeriahan sambutan orang ramai pada hari pertama ini, kami yakin sasaran satu juta adalah realistik untuk dicapai sekiranya lengkung COVID-19 bertambah landai dalam masa terdekat.
"Tasik Kenyir mempunyai 340 pulau dan masih banyak yang belum diteroka untuk industri pelancongan. Justeru Tahun Melawat Kenyir 2021 ini adalah masa terbaik untuk orang ramai datang merasai sendiri pengalaman unik bercuti ke sini," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan cenderahati kepada pelancong di persimpangan Gawi di sini hari ini.
Acara pertama yang membuka tirai Tahun Melawat Kenyir adalah 'ASEAN Monsoon Casting Tournament' yang bermula semalam menjadi tumpuan 140 kaki pancing di seluruh negara yang berkonsepkan 'tangkap dan lepas'.
Razali berkata walaupun musim tengkujuh adalah waktu yang suram untuk aktiviti pelancongan di kawasan lain seperti pulau peranginan, ia sebaliknya adalah 'waktu emas' untuk Tasik Kenyir kerana puluhan spesies ikan mudah diperoleh kaki pancing di tasik itu.
"Ini kelebihan Tasik Kenyir kerana merupakan 'syurga' untuk kaki pancing setiap kali musim tengkujuh dan ia memberi impak yang sangat positif kerana kami dimaklumkan tempahan rumah bot juga penuh sepanjang bulan ini," katanya.
Selain itu, Razali berkata antara tarikan Tasik Kenyir ialah kepelbagaian ekosistemnya yang menjadi tumpuan seperti gua batu kapur (Gua Bewah dan Gua Taat), air terjun (Lasir dan Saok) dan Gunung Gagau di Taman Negara.
"Ada beberapa aktiviti untuk pelancongan sukan seperti kejohanan motor lasak, pacuan empat roda dan berbasikal turut diatur bagi mereka yang sukakan cabaran fizikal.
"Komuniti setempat juga tidak dilupakan kerana banyak aktiviti akan dilakukan nanti terutama pada Festival Kenyir yang akan berlangsung bagi menonjolkan kepelbagaian budaya dan warisan tradisional rakyat Terengganu...sudah pasti golongan usahawan akan diberi ruang untuk mempromosikan jualan barang dan perkhidmatan mereka nanti," katanya.
Dalam pada itu, Razali berkata Ketengah juga berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan proses naik taraf jalan raya untuk kemudahan pelancong ke Tasik Kenyir.
"Saya difahamkan ada dua pakej iaitu pakej pertama dari susur keluar Lebuhraya Pantai Timur 2 ke Kuala Jeneris dan pakej kedua dari Kuala Jeneris hingga ke persimpangan Gawi.
"Bagi pakej pertama, proses pengambilan tanah telah selesai hanya menunggu untuk ditender manakala untuk pakej kedua, kami masih belum ada perinciannya dan berharap ia dapat disegerakan agar tiada lagi rungutan pelancong (mengenai masalah jalan berlubang)," katanya yang optimis penambahbaikan kemudahan infrastruktur itu akan melonjakkan lagi Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan terkenal di persada dunia.
-- BERNAMA
#pelancongan #tahun melawat kenyir #Tasik Kenyir #Lembaga kemajuan Terengganu Tengah #Ketengah #pelancong #Razali Idris
;