Tahun Melawat Johor: Swasta, NGO dialukan anjur program pelancongan

Bernama
Januari 12, 2020 09:50 MYT
Muar menanti pengunjung dengan tarikan tersendiri, selain pelbagai tawaran destinasi menarik lain di seluruh negeri Johor. - Gambar fail
Pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dialu-alukan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Johor dalam menganjurkan pelbagai program pelancongan bersempena Tahun Melawat Johor 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Liow Cai Tung berkata, usaha itu bukan sahaja akan dapat menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke destinasi terpilih, namun ia mampu membawa keuntungan kepada pihak terbabit.
Katanya terdapat 20 destinasi dan 20 acara terpilih, yang menjadi tumpuan bersempena Tahun Melawat Johor.
Acara itu termasuk Festival Bendang di Kluang, Festival Durian di Segamat dan Pesta Pantai Mersing, manakala destinasi pula seperti Perkampungan Orang Asli Sungai Peroh di Kluang, Mural Muar, dan Sawah Ring di Tangkak, katanya.
"Kita telah memperkenalkan 20 destinasi dan 20 acara, namun sebenarnya tidak mencukupi promosinya jika hanya dijayakan oleh pihak kerajaan negeri sahaja.
"Oleh itu, kita perlu kerjasama dan usaha daripada pihak swasta dan NGO, untuk membantu mengadakan pelbagai program pelancongan domestik dan antarabangsa," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Karnival Johor Jaya 2020, bersempena Tahun Baru Cina, di sini, pada Sabtu malam.
Sementara itu, Liow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya berkata pihaknya menyasarkan seramai 80,000 orang akan mengunjungi Karnival Johor Jaya 2020, yang bermula Jumaat sehingga 23 Jan ini.
Menurutnya karnival dengan lebih 80 gerai itu, merupakan karnival yang paling menerima tumpuan dan kunjungan orang ramai, setiap kali sambutan Tahun Baru Cina di daerah ini.
"Ini merupakan antara program yang paling penting, dapat membantu meningkatkan pendapatan peniaga tempatan kita, malah barangan yang dijual di sini harganya berpatutan.
"Saya berharap pengunjung dari luar negara seperti Singapura, akan dapat mengambil peluang membeli belah di sini sebagai persiapan menyambut Tahun Baru Cina," katanya.
-- BERNAMA
#Johor Bahru #NGO #pelancong #pelancongan #Tahun Melawat Johor
;