Tahun Melawat Ipoh 2023: Tiada kompromi pihak abai isu kebersihan

Aida Aziz
Januari 31, 2023 16:24 MYT
Tindakan penguatkuasaan lebih tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang mengabaikan isu kebersihan, khususnya para peniaga di bandar raya ini, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
IPOH: Tindakan penguatkuasaan lebih tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang mengabaikan isu kebersihan, khususnya para peniaga di bandar raya ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak akan berkompromi dengan pihak yang tidak mengendahkan isu kebersihan, sekali gus memberi imej buruk kepada negeri Perak.
Katanya lagi, usaha berterusan bagi mencapai perkara itu telah dilakukan sejajar dengan sasaran Menuju Ipoh Bersih 2023 dan Tahun Melawat Ipoh 2023.
"Kita akan pertingkatkan aktiviti penguatkuasaan setiap hari, kalau tiada aspek kebersihan orang pun tidak suka datang ke tempat kita.
"Pemeriksaan akan dilakukan secara rambang khususnya di kawasan tumpuan pelanlam cong.
"Saya setuju (tindakan penguatkuasaan dan heret ke mahkamah), kita akan buat jika perlu dan kena tegas. Kalau sudah diberi nasihat pun tidak jalan, kita kena laksanakan.
"Kita tidak mahu 'hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'. Kerana satu kedai itu kotor kemudian tular satu Malaysia dan orang kata semua peniaga di Ipoh ini pengotor... walhal mungkin 1 atau 2 peratus saja," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari 2023 di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Rumaizi berpendapat, kualiti kebersihan para peniaga di bandar raya ini boleh dianggap lebih baik berbanding lokasi pelancongan lain.
"Kita tidak mahu hanya kerana seorang dua peniaga yang lakukan kesilapan atau tidak menjaga kebersihan, maka semuanya akan terpalit dan terjejas," katanya.
Tambah beliau, tahun lalu sebanyak 336 premis telah diberi gred A, 858 premis Gred B manakala gred C 14 premis.
Katanya, sasaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menetapkan 80 peratus daripada jumlah premis makanan yang diperiksa (restoran, kafe dan kiosk) perlu mendapatkan gred B dan A.
"Pencapaian MBI adalah 98.8 peratus. Selain itu pada tahun 2022, sebanyak 1,155 buah tandas premis makanan telah diperiksa oleh Unit Keselamatan Dan Kualiti Makanan.
"Hasil daripada pemeriksaan, sebanyak 1,155 tandas telah menerima 3 bintang ke atas dan sebanyak enam surat amaran dikeluarkan untuk premis yang gagal mematuhi syarat kebersihan tandas," katanya lagi.
#Tahun Melawat Ipoh #Menuju Ipoh Bersih #Datuk Bandar Ipoh #Rumaizi Baharin
;