Tahun kambing atau tahun biri-biri?

Astro Awani
Februari 17, 2015 09:32 MYT
Banyak barang perhiasan Tahun Baru Cina bermotifkan biri-biri dan bukannya kambing sehingga menimbulkan kekeliruan.
Berdasarkan kalendar zodiak Cina, tahun ini ialah tahun kambing, namun ada segelintir yang menyebutnya sebagai tahun biri-biri. Malah kebanyakan barangan perhiasan dan cenderahati Tahun Baru Cina didapati bermotifkan biri-biri.
Jadi mana satu yang betul?
Menurut pakar Feng Shui dan pengasas Good Feng Shui Geomantic Research, Kenny Hoo, masyarakat Cina lebih gemar menyebut kambing atau pun “goat”.
Dalam bahasa Mandarin, “San Yang” atau kambing mempunyai maksud yang sama dengan “Mian Yang” atau biri-biri.
“Saya lebih suka tahun kambing atau ‘Year of the Goat’ sebab bunyinya lebih positif,” katanya.
Malahan, masyarakat Tiong Hua amat berhati-hati dengan apa yang disebut, terutamanya pada Tahun Baru Cina, kerana dipercayai dapat menjejaskan tuah.
“Dalam Tahun Baru Cina, ramai orang, terutamanya orang Cina, tidak mahu menyebut apa-apa perkara yang negatif kerana kami percaya daripada segi kebudayaan, kalau dalam Tahun Baru Cina, kita sebut atau fikir perkara negatif, kami bimbang sepanjang tahun akan membawa nasib yang kurang baik.”
Biarpun kambing lebih digemari sebagai haiwan yang dinamik dan bertenaga berbanding biri-biri, namun kebanyakan barang perhiasan yang dijual sempena Tahun Baru Cina adalah bermotifkan biri-biri, kerana ia dilihat lebih comel.
Sama ada kambing mahupun kambing biri-biri, mereka mempunyai maksud yang lebih kurang sama, iaitu “yang”, di mana dalam bahasa Mandarin mempunyai bunyi yang lebih kurang sama dengan matahari terbit.
Kenny turut berharap tahun ini akan membawa harapan dan nafas baru kepada semua di dalam tahun kambing ini.
Kami di Astro AWANI turut ingin mengucapkan, Selamat Tahun Baru Cina!
#biri-biri #CNY #kambing #Tahun Baru Cina
;