'Tahun depan lebih mencabar, agenda utama KPM perkukuh dasar' - Fadhlina
Bernama
Disember 8, 2023 15:08 MYT
Disember 8, 2023 15:08 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkukuhkan setiap dasar yang diperkenalkan sebagai antara agenda utama kementerian pada tahun hadapan, kata menterinya Fadhlina Sidek.
Beliau berkata antara yang akan dilaksanakan termasuk memperkukuhkan dasar berkaitan pengukuhan dan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekolah serta menambah baik Kurikulum Persekolahan 2027 sebagaimana yang diperkenalkan Rabu lepas.
"Tahun depan bagi saya adalah tahun lebih mencabar kerana banyak dasar yang lebih baik akan kita perkukuhkan sebagai contoh pengukuhan bahasa Inggeris akan bermula pada tahun hadapan setelah mengukuhkan bahasa Melayu tahun ini.
"Paling penting adalah siri jerayawara untuk masa depan pendidikan Malaysia selaras dengan kerangka Kurikulum (Persekolahan) 2027. Ini adalah Antara perkara penting akan berlaku tahun hadapan dan memerlukan kerja keras dan komitmen tinggi KPM," katanya kepada pemberita.
Fadhlina ditemui selepas menghadiri program Santai Bersama Menteri Pendidikan sempena Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.
Terdahulu, semasa berucap pada program Santai Bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina berkata tahun hadapan adalah tahun yang sangat penting untuk terus melakukan perubahan termasuk berkaitan beban guru yang terus menjadi keutamaan KPM.
"Kita juga berhasrat besar untuk melihat reformasi pendidikan dilaksanakan dengan lebih teratur dan mengungkap konsep pendidikan serta dasar yang lebih baik apatah lagi dengan adanya beberapa garis panduan penting yang telah kita laksanakan tahun ini.
"Garis panduan ini antaranya mengenai pengurusan kes buli, gangguan seksual dan beberapa garis panduan akan datang yang saya fikir penting menunjukkan komitmen KPM berkaitan ekosistem sekolah lebih selamat serta penyayang untuk anak-anak kita," katanya.
-- BERNAMA