Tahun Baharu Tamil dan Vaisakhi disambut esok, Vishu pula dirai Sabtu
Bernama
April 13, 2023 18:45 MYT
April 13, 2023 18:45 MYT
KUALA LUMPUR: Masyarakat Tamil dan Sikh di Malaysia masing-masing bakal meraikan Tahun Baharu Chittirai Puttandu dan Vaisakhi esok, manakala perayaan Vishu akan diraikan komuniti Malayalee pada Sabtu ini.
Kesemua perayaan itu akan disambut secara besar-besar di seluruh negara sebagai menyambut permulaan baharu pada setiap tahun bagi masyarakat India.
Presiden Malaysia Hindu Sangam Ganesan Thangavellu berkata tahun baharu bermula pada 4.45 petang 14 April dan tahun ini dikenali sebagai Tahun 'Shobakiruthu'.
"Sebagai komuniti Tamil, kami mengalu-alukan kedatangan fajar baharu. Kami berharap tahun baharu ini membawa lebih banyak kekayaan untuk negara, perpaduan dalam kalangan rakyat dan lebih banyak perayaan dalam masyarakat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata sembahyang khas juga akan diadakan di Kuil Sri Sakthi Karpaga Vinayagar, Brickfields, di sini, pada Jumaat dari 10.30 pagi hingga 1 tengah hari, manakala acara tradisional seperti persembahan Silambam, Bharathanatyam dan pelancaran kalendar baharu Tamil akan diadakan di Kuil Sri Krishna, Brickfields pada 16 April dari 3 petang hingga 9 malam.
Kelahiran bulan Tamil Chittirai ditandakan setiap tahun pada hari pertama kalendar matahari Tamil.
Sementara itu, Presiden Sikh Naujawan Sabha Malaysia (SNSM) Paramjeet Singh Jai Singh berkata kira-kira 120,000 kaum Sikh di Malaysia akan meraikan Vaisakhi, perayaan menuai musim bunga dan kelahiran Khalsa oleh Guru Sikh ke-10, Guru Gobind Singh Ji, esok.
Beliau berkata 130 gurdwara di negara ini bersiap sedia menyambut perayaan itu dan ramai yang telah memulakan Sri Akhand Path (bacaan kitab agama Sri Guru Granth Sahib Ji tanpa henti) untuk Vaisakhi.
"Gurdwara Sahib Petaling Jaya telah memulakan Sri Akhand Path semalam dan di sesetengah gurdwara telah memulakan Jodh Melas (perbincangan kerohanian) bagi Vaisakhi," katanya.
Paramjeet Singh menyifatkan Vaisakhi sebagai perayaan dan karnival besar-besaran yang melibatkan banyak program seperti Kirtan Darbar oleh Ragi Jtha (kumpulan nyanyian kebaktian) yang terkenal dan aktiviti seperti derma darah, pemeriksaan kesihatan, aktiviti kanak-kanak, serta sumbangan untuk golongan kurang bernasib baik.
Presiden Persatuan Kebudayaan dan Tradisional Hindu Malayalee Malaysia (PAKAR Malayalee Malaysia) Dr N.R Nambiar berkata menurut panjangam (almanak) rasmi Sri Guruvayoorappan Devaswom Kerala; Kerala Mathrubumi Panjangam; Kerala Valya Panjangam dan Kerala Manorama Panjangam, Vishu akan disambut pada 15 April.
Beliau berkata Vishu disambut pada hari pertama dan kedua bulan Malayalam (Medam) dan diraikan sebaik matahari melintasi Meenam (Surya Sankramana) dan memasuki Medam (Aries) kerana Surya Sankramana berlaku lewat pada 14 April.
"Ahli keluarga paling tua biasanya akan menyusun "Vishukani" (dulang barangan) pada malam sebelumnya dan bangun paling awal untuk menyalakan lampu, kemudian setiap ahli keluarga dibawa keluar dengan mata tertutup ke kawasan Vishukani untuk membenarkan mereka melihat pemandangan yang baik," katanya.
Dr Nambiar berkata perkataan Malayalam "kani" bermaksud "yang dilihat dahulu", oleh itu Vishukkani bermaksud "yang dilihat dahulu pada Vishu".
Menurutnya waktu paling sesuai di negara ini untuk upacara itu ialah dari 6 pagi hingga 6.30 pagi dan tiada ahli keluarga yang ketinggalan dalam upacara ini.
-- BERNAMA