'Tahun baharu, rakyat basah lagi' - Najib kritik penangguhan harga minyak
Astro Awani
Disember 31, 2018 20:47 MYT
Disember 31, 2018 20:47 MYT
Pengumuman penangguhan harga mingguan bahan api oleh Kementerian Kewangan pada Isnin menimbulkan reaksi pelbagai daripada kalangan netizen.
Harga petrol dan diesel sepatutnya diapungkan bermula esok, 1 Januari 2019, selepas mengambil kira trend penurunan harga minyak sepanjang Disember 2018.
Berita penangguhan itu turut menarik perhatian bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat tidak senang dengan keputusan tersebut.
“Ini belum u-turn lagi. Ini traffic light (lampu isyarat). Ini bukan lagi senyap-senyap tibai.
“Ini sudah terang-terangan tibai 30 sen setiap liter. Beratus juta ringgit cukai petrol untuk minggu ini lagi. Tibai dua bulan lebih, mana cukup?
“Tahun baharu, rakyat basah lagi,” tulis Najib di akaun Facebooknya, pada Isnin.
Najib ketika siaran langsung di laman sosial itu menyifatkan PH sebagai kerajaan gagal dan bersikap sambil lewa dalam melunaskan janji kepada rakyat, terutamanya berkaitan menurunkan harga minyak.
“Harga pasaran minyak dunia telah menurun dengan begitu signifikan, sepatutnya langkah pengapungan harga minyak dilakukan serta merta dan rakyat akan dapat faedah daripadanya.
"Sepatutnya, inilah peluang untuk kerajaan PH melunaskan janji mereka. Mereka janji, kalau hari ni menang esok harga minyak akan turun kepada RM1.50 seliter.
“Tapi mereka mengambil langkah, melengah-lengahkan pengurangan harga minyak sehinggakan isu ini dibangkitkan oleh saya dan beberapa pihak lain,” katanya.
Najib menambah kerajaan PH sepatutnya bertindak segera melaksanakan pengapungan harga minyak namun mereka tidak berbuat demikian.
Pada 24 Disember lalu, kerajaan mengumumkan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai esok.
Guan Eng berkata langkah itu sejajar dengan trend penurunan harga pasaran minyak dunia pada ketika ini.
Walau bagaimanapun, Guan Eng hari ini dalam kenyataannya memaklumkan apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada mengalami impak kenaikan harga, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter bagi petrol RON95 dan diesel melalui pemberian subsidi.
Menurut beliau, pengekalan harga pada paras ini dikekalkan sehingga pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar pada pertengahan tahun 2019, sebelum harga runcit produk petroleum diapungkan mengikut harga pasaran, lapor Sinar Harian.