Tahun Baharu Cina: Upacara sembahyang di tokong sederhana, ikut SOP
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 12, 2021 12:20 MYT
Februari 12, 2021 12:20 MYT
BAYAN LEPAS: Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini cukup berbeza buat Lorene Soh Chin Syuen dari Perlis apabila tidak dapat pulang menyambutnya bersama keluarga.
Pelajar berusia 23 tahun itu berkata dia hanya berkesempatan meraikan perayaan tahun baharu bersama keluarga ibu saudaranya di Relau, Pulau Pinang.
Meskipun suasana perayaan kali ini tidak seperti kelazimannya, namun dia gembira kerana masih dapat hadir melakukan upacara sembahyang di Tokong Ular di Bayan Lepas selepas kerajaan memberi kebenaran berbuat demikian.
“Saya ada mengikut SOP (prosedur operasi standard), tidak ramai orang yang datang, tetapi tidak dapat balik bertemu ibu bapa.
“Selalunya meriah, semua keluarga balik tinggal di homestay, saya raikan seorang dengan ibu saudara, pertama kali dengan dia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu koordinator Tokong Ular, Cheah Cheng Ean berkata, upacara sembahyang pada pagi tahun baharu kali ini berlangsung dalam suasana sederhana.
Menurutnya, jumlah kehadiran tahun ini amat terhad berbanding tahun sebelumnya apabila pada kebiasaannya lebih 3,000 pengunjung hadir melakukan upacara sembahyang.
“Hari ini tidak ramai pengunjung. (Dibuka) 6.30 pagi sampai 2.00 petang. Semalam pun tidak ramai. Tidak macam tahun dulu, ramai orang datang, ada beribu-ribu. Kali ini lebih 100 pengunjung yang datang,” katanya.
Tinjauan Astro AWANI di Tokong Ular juga mendapati suasana lengang dengan kehadiran pengunjung yang terhad.
Rata-rata masyarakat Tionghua hadir dengan pematuhan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pihak jawatankuasa tokong juga memaklumkan tokong di buka seawal jam 6 pagi hingga 2 petang untuk upacara sembahyang namun dengan SOP yang ketat kepada orang ramai.
#Tahun Baru Cina
#Tahun Baharu Cina
#sembahyang di tokong
#SOP
#Majlis Keselamatan Negara
#Bayan Lepas
#Tokong Ular