Tahun Baharu Cina: Trafik dijangka meningkat sehingga 4.6 juta kenderaan sehari
Astro Awani
Januari 28, 2022 22:10 MYT
Januari 28, 2022 22:10 MYT
KUALA LUMPUR : Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah aliran trafik yang menggunakan lebuh raya akan meningkat sehingga 4.6 juta kenderaan sehari sempena cuti hari minggu dan cuti Tahun Baharu Cina.
Dalam satu kenyataan, LLM berkata, pertambahan jumlah kenderaan ini dijangka akan berlaku secara berperingkat bermula 28 Januari sehingga 7 Februari depan.
"LLM ingin menasihatkan pengguna lebuh raya agar merancang perjalanan dengan mengikut jadual Cadangan Waktu Perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) yang telah dikeluarkan oleh pihak pengendali lebuh raya. Selain itu, pengguna juga diminta memastikan baki kad touch ‘n go dan e-wallet adalah mencukupi serta menggunakan lorong yang betul untuk masuk dan keluar di plaza tol," kata kenyataan itu pada Jumaat.
Pengguna lebuh raya juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan terutamanya ketika berada di kawasan rehat dan rawat (R&R) atau hentian sebelah (layby) bagi mencegah jangkitan COVID-19 daripada terus merebak.
Di samping itu, LLM juga telah mengarahkan kesemua Syarikat Konsesi Lebuh Raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya adalah selamat dan lancar sepanjang tempoh berkenaan.
Selain itu juga, Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi selama 24 jam mulai 28 Februari sehingga 7 Februari depan.
Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan mendapatkan maklumat keadaan trafik atau bantuan dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik, LLM di talian 1–800–88–7752.
Maklumat keadaan trafik juga boleh diperolehi menerusi laman rasmi Facebook : Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMinfotrafik.