Tahun Baharu Cina: Tol percuma bagi kenderaan persendirian pada 8, 9 Feb
Bernama
Februari 7, 2024 12:19 MYT
Februari 7, 2024 12:19 MYT
KUALA LUMPUR: Pengguna lebuh raya membabitkan kenderaan persendirian (Kelas 1) diberi kemudahan tol percuma selama dua hari bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pengecualian tol yang bermula pada 12.01 tengah malam 8 Feb hingga 11.59 malam 9 Feb itu diberikan di semua plaza tol kecuali di sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
"Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.
“Pendekatan pemberian tol percuma ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata perkara itu dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan implikasi kewangan bagi pemberian tol percuma itu dianggarkan berjumlah RM42.99 juta.
Dengan pengecualian bayaran tol itu, Nanta berkata pengguna lebuh raya diharap dapat merancang perjalanan serta mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) yang disyorkan dalam tempoh berkenaan.
"Aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta.
"Pengguna juga dinasihatkan untuk mendapatkan rehat secukupnya dan memastikan baki kad Touch 'n Go serta eWallet adalah mencukupi," katanya.
Pengguna lebuh raya juga disyorkan untuk menyemak status terkini trafik atau insiden di lebuh raya melalui laman media sosial rasmi Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau aplikasi X @LLMtrafik, atau menghubungi talian Pusat Pengurusan Trafik LLM 1-800-88-7752.
-- BERNAMA